Categories: Oh Lawa

Terima pencalonan di CINEFashion Film Awards Los Angeles 2018, Fiziwoo harumkan nama negara!

Di dalam gelanggang industri fesyen, Fiziwoo antara jenama yang selalu tampil dengan rekaan advance bercirikan world standard dan membuatkan pencintanya sentiasa percaya bahawa jenama inilah yang akan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Dan akhirnya Mac lalu, jenama yang dicetuskan oleh Mohd Hafizi Radzi Woo (Fizi) pada tahun 2009 yang kemudiannya disertai Izree Kai Haffiz (Kai) sekitar 2011, mengejutkan ramai apabila tercalon menerusi CINEFashion Film Awards Los Angeles 2018, menerusi kategori Emerging Designer.

Sedutan rakaman pencalonan itu yang menampilkan Aaron Carter dan Paula Jai Parker selaku penyampai hadiah, dikongsikan Fiziwoo melalui entri Instagram rasminya, Sabtu lalu dengan jumlah tontonan 16,300. 

Turut bersaing dalam kategori berkenaan, dua pereka fesyen baru antarabangsa bersama Madame Methven dan Grayling Purnell. 

Meskipun kemenangan tidak menyebelahi Fizi dan Kai, namun pencapaian itu sudah cukup membanggakan Malaysia. Apatah lagi, Fiziwoo merupakan pereka fesyen tempatan pertama yang menerima pencolanan di dalam majlis penganugerahan antarabangsa berprestij itu.

Menurut sumber boleh dipercayai, Fizi dan Kai berpeluang cerah untuk membawa pulang anugerah itu namun disebabkan beberapa kekangan, trofi kemenangan terpaksa diserahkan kepada Grayling Purnell.

 

Khai dihubungi bagi menjelaskan sejauh mana kebenaran berita itu, bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.

“Kalah atau menang itu adat pertandingan. Dapat tercalon sebagai top 3 di dalam anugerah berprestij sudah cukup membuatkan kami berasa bangga dan bersyukur kerana berupaya membuktikan bahawa pereka fesyen tempatan juga mampu berdiri setaraf pereka antarabangsa.

“Jujur saya katakan, kami berdua tidak pernah menyangka kami akan dicalonkan menerusi CINEFashion Film Awards Los Angeles sekaligus bersaing dengan dua pereka baru antarabangsa yang boleh dikatakan sudah mempunyai nama besar di Amerika. 

“Pengalaman ini menyuntik semangat kami untuk terus menghasilkan rekaan-rekaan yang hebat dan baik pada masa akan datang. Mudahan juga kami dapat mengembangkan lagi jenama Fiziwoo di peringkat antarabangsa,” kata Kai.

Ditanya bagaimana segalanya bermula sehingga dicalonkan menerusi anugerah berkenaan, Kai berkata, Minggu Fesyen New York yang disertai mereka pada September lalu, membuka peluang ini buat mereka.

 

 

“Fiziwoo diundang membuat persembahan bersempena Minggu Fesyen New York  (NYFW) pada September 2018. Kebetulan pemilik stesen TV Cinemoi dan pasukan mereka hadir menyaksikan sesi pertunjukan fesyen kami. 

“Usai pertunjukan itu, penganjur NYFW memaklumkan pemilik stesen TV berkenaan mahu menemui kami. Wanita dikenali sebagai Daphna Simon itu datang, tidak hanya mengucapkan tahniah malah memuji ke semua koleksi rekaan kami.

“Dia juga meminta pasukan kami untuk berhubung dengan pihaknya, dan menghantar koleksi lookbook serta kempen yang pernah kami lakukan, untuk dinilai kelayakan menyertai anugerah itu.

“Sebulan selepas menyediakan segala keperluan yang diinginkan, kami menerima kiriman email yang cukup menggembirakan apabila diumumkan terpilih sebagai top 3 bagi kategori Emerging Designer,” katanya dengan nada gembira.

Menurut Kai lagi, dia dan Fizi sepatutnya berangkat ke Los Angeles bagi memeriahkan acara itu namun disebabkan kekangan masa, mereka tidak dapat berkesempatan berbuat demikian.

 

Yanie Baharom