Categories: Program TV

Al-Maqari Dinobatkan Sebagai Juara Pentas Marhaban, Bawa Pulang Wang Tunai RM50,000!

Selepas lapan minggu bersiaran, kumpulan Al-Maqari diumumkan sebagai juara program Pentas Marhaban dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 yang berlangsung secara di Studio Pusat Penyiaran TV AlHijrah, semalam.

Keputusan tersebut sekali gus mengalahkan pesaing terdekatnya iaitu Qalbun Hadi, Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq.

Kumpulan Qalbun Hadi dinobatkan sebagai naib juara dan membawa pulang RM25,000 berserta trofi.

Bagi tempat ketiga dan keempat dimenangi oleh kumpulan Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq masing-masing menerima hadiah saguhati iaitu wang tunai sebanyak RM10,000.

Tugasan akhir Pentas Marhaban dibahagikan kepada tiga kategori iaitu marhaban dan rawi, penceritaan serta qasidah.

Program realiti ini diadili sepenuhnya oleh juri tetap Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus serta juri jemputan, Ustaz Hasim Harun.

Pemarkahan diberikan berdasarkan gaya persembahan, pakaian, lagu, solo dan harmoni.

Pentas Marhaban akhir turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan Rabbani dan Daqmie.

Program yang diadakan buat julung kali itu dihoskan oleh gandingan pengacara, Tilmiz Fahmi dan Shamsul Ghau Ghau.

Maya Basir