WHI Kongsi X Mydin Prihatin Jalin Kerjasama Imarahkan Bulan Ramadan

Istimewa Ramadan kali ini, pihak TV3 dan Tonton melalui program bual bicara nombor satu negara, Wanita Hari Ini (WHI) membawakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘WHI Kongsi’ hasil kerjasama dengan pihak Mydin untuk berkongsi rezeki dan mengimarahkan lagi bulan yang mulia. 

Merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh program WHI, inisiatif ini dijalankan untuk membantu golongan yang memerlukan dan menghargai pengorbanan anggota berseragam atau dikenali sebagai ‘frontliners’.

Justeru, sempena menyambut kempen Ramadan Raya ‘Macam Dulu-Dulu’ anjuran Media Prima Berhad tahun ini, WHI Kongsi X Mydin Prihatin telah dijalankan bersama-sama barisan hos Wanita Hari Ini iaitu, Fiza Sabjahan, Fahrin Ahmad, Uyaina Arshad, Fatin Hamimah, Sugeeta Chandran dan Syahira Yaacob bersama-sama komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Lembah Subang 2 dalam acara ‘rewang’ yang menggamit nostalgia.

Selain itu, terdapat juga pengagihan makanan berbuka puasa bersama Datuk Wira Dr Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Berhad dan isteri kepada penduduk di sekitar kawasan itu.

Ketika program tersebut berlangsung, sebanyak 150 set bantuan Kotak MYDIN Prihatin bernilai sehingga RM60 yang mengandungi barangan keperluan harian seperti beras, gula pasir, tepung gandum, minyak masak, bihun, sardin, biskut krim kraker, susu pekat krimer, serbuk tea, serbuk kopi dan pelitup muka telah diagihkan.

 

Ketika ditemui XTRA, hos rancangan WHI iaitu Fahrin Ahmad berkata, ini merupakan tahun ketiga program ini berlangsung, namun kali ini ia sedikit istimewa kerana pihak Mydin juga turut serta dalam acara berkenaan.

“Kita di WHI ini merupakan tahun ketiga untuk program WHI Kongsi, tapi tahun ni dia lebih istimewa kerana kita berkerjasama dengan Mydin dimana setiap mereka yang menerima sumbangan akan menerima kotak berupa barang-barang makanan sumbangan pihak Mydin. Jadilah  WHI Kongsi X Mydin Prihatin.

“Ini adalah lokasi kedua, tempoh hari kita sudah ke Hospital Tunku Azizah untuk menyerahkan sumbangan kepada frontliners di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur dan lokasi kedua di sini iaitu di PPR Lembah Subang 2. Cuma kalini sedikit berbeza kerana kita melakukan rewang bersama sukarelawan dan penduduk Surau Al-Muhajirin sejak pukul 10 pagi lagi dan kali ini kami telahpun menerima senarai golongan asnaf untuk sumbangan-sumbangan daripada WHI Kongsi X Mydin Prihatin,” ulasnya.

Fahrin berkata demikian ketika acara WHI Kongsi X Mydin Prihatin yang diadakan di PPR Lembah Subang 2 pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai pemilihan penerima sumbangan, ayah kepada seorang cahaya mata ini menjelaskan, pemilihan semua penerima sumbangan adalah berdasarkan senarai yang diberikan pihak Lembaga Zakat Selangor.

“Dari segi pemilihan memang setiap tahun kami menerima senarai dari pihak Lembaga Zakat Selangor dan hari ini saya telah difahamkan seramai 150 penerima yang telahpun menerima sumbangan dan selebihnya kita raikan bersama penduduk di sini.

 

Salma Syahbuddin