Selepas menyentuh hati pendengar menerusi lagu Berjauh-an, penyanyi dan komposer popular Aina Abdul kembali dengan sebuah karya baharu berjudul Sadis yang membawa pendengar menyelami emosi kehilangan, kerinduan dan penyesalan yang sukar dilupakan.
Lebih daripada sekadar sebuah lagu, Sadis dianggap Aina, 32, sebagai karya paling peribadi yang pernah dihasilkannya.
Malah, setiap kali mendendangkan lagu tersebut, dia sering dibawa kembali kepada kenangan bersama insan tersayang yang sudah tiada.
Menurut pemenang tiga kali trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu itu, Sadis banyak mengingatkannya kepada arwah bapanya sehingga ada kalanya sukar untuk menahan air mata ketika membuat persembahan.

“Saya memang rindukan arwah ayah. Sebab itu apabila menyanyikan Sadis, emosi itu datang dengan sendiri.
“Lagu ini mengingatkan saya kepada perkara-perkara yang pernah berlaku dalam hidup, termasuk momen yang saya tahu tidak mungkin dapat diulang semula. Sebab itu setiap kali menyanyikannya, saya mudah tersentuh,” katanya.
Pemenang trofi Anugerah Juara Lagu 37 itu menyifatkan Sadis sebagai lagu yang paling banyak membantu dirinya melalui proses penyembuhan emosi.
“Bagi saya, ini adalah lagu yang paling dekat dengan hati dan paling memberi kesan kepada diri sendiri. Ia seperti ruang untuk saya berdamai dengan pelbagai perkara yang sudah berlalu,” katanya.
Aina berkata, proses menghasilkan lagu tersebut turut membawanya kembali ke zaman kolej ketika hidup terasa lebih sederhana dan bebas daripada komitmen yang dipikul hari ini.
“Ketika menulis lagu ini, saya perlu meletakkan diri sebagai Nurul Aina yang dulu. Waktu zaman belajar, ketika semuanya terasa lebih mudah dan indah.
“Masa itu kita hanya fokus kepada kelas, berkawan dan mungkin mengalami cinta pertama. Emosi itulah yang saya cuba bawa dalam Sadis,” katanya.
Selain menyentuh tentang kehilangan, lagu tersebut juga mengangkat perasaan rindu terhadap ibu bapa yang sering dirasai apabila seseorang semakin dewasa.
Menurut Aina, ada ketika seseorang hanya menyedari betapa berharganya kehadiran ibu bapa selepas mereka tiada atau apabila masa semakin berlalu.
“Bila usia semakin meningkat, kita mula rindukan suara ibu, nasihat dan bebelannya.
“Saya masih bersyukur kerana masih mempunyai ibu, tetapi saya sangat merindui ayah. Arwah seorang yang tidak banyak bercakap, tetapi setiap riak wajahnya seolah-olah menyimpan seribu makna,” katanya.

Dalam masa sama, Aina berharap lagu tersebut dapat menjadi peringatan kepada orang ramai agar menghargai ibu bapa selagi mereka masih ada.
“Saya harap sesiapa yang masih mempunyai ibu bapa akan menghargai mereka sebaik mungkin. Kadang-kadang kita hanya sedar nilai seseorang selepas kehilangannya,” katanya.
Ditulis dan digubah sendiri oleh Aina, Sadis juga menjadi kesinambungan kepada Berjauh-an yang dilancarkan sebelum ini.
“Kalau Berjauh-an lebih banyak bercerita tentang jarak dan perpisahan, Sadis pula membawa pendengar ke fasa selepas kehilangan itu berlaku.
“Ia mengenai saat seseorang mula menyedari betapa besar nilai insan yang pernah hadir dalam hidupnya,” katanya.
Untuk karya terbaharu ini, Aina sekali lagi bekerjasama dengan pemuzik dan penyusun muzik dari Indonesia, Vega Antares yang sebelum ini turut terlibat dalam penghasilan Berjauh-an.
“Saya sangat selesa bekerja dengan Vega kerana dia benar-benar memahami emosi dan suasana yang saya mahu sampaikan dalam lagu ini.
“Saya rasa keserasian kami semakin kuat dan ia banyak membantu merealisasikan apa yang saya bayangkan untuk Sadis,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aina turut mendedahkan sedang sibuk menyiapkan album baharu yang dijangka menemui peminat tahun ini, dengan Sadis menjadi antara karya penting yang membentuk perjalanan emosi album tersebut.
Single Sadis kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.








