Categories: Trending

Abang Terlanggar Tiang, Gara-Gara ‘Barbie Bernyawa’ Masuk Pasar!

Macam-macam ragam manusia ini, kan?

Orang lain ke pasar pakai baju basahan, tapi lain pula ceritanya dengan seorang wanita ini. 

Sudahlah wajahnya tak ubah seperti patung Barbie, penampilannya yang berbaju labuci rona hitam dipadan skirt tutu pink bebola pelangi membuatkan ramai pengunjung Pasar Besar Awam TTDI (Taman Tun Dr Ismail) terkesima melihatnya dan ada juga memberikan pandangan ‘aneh’.

Berdasarkan sedutan video berdurasi 1 minit dan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya iaitu @izubielazaffmarekan, kehadirannya di pasar berkenaan sedikit ‘menghuru-harakan’ keadaan.

Kelihatan ada peniaga yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan lebih melucukan sampai ada yang terlanggar rak besi jualan di pasar tersebut akibat terpesona melihat wanita berambut perang itu.

Ada juga yang menegur pemilihan fesyennya ke pasar.

“Wow! Macam nak pergi pertunjukan fesyen. Kenapa kamu berpakaian seperti ini?” tegur seorang pelanggan wanita pasar itu.

Menerusi kapsyen gambar terkini yang dimuat naik wanita ini sekitar jam 2 petang, tutu skirt yang digayakannya itu adalah salah satu koleksi daripada pereka fesyen Ezuwan Ismail yang dipentaskan ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2018 (FWKL2018) sekitar Ogos lalu.

Di sebalik pujian yang diberikan netizen, ada juga segelintir yang menyindir tindakannya itu yang seolah-olah cuba menarik perhatian masyarakat.

“Weh, siapa perempuan ini? Ada Barbie jatuh dari langit ke? Kemain dress up, haha. Part akhir tu, kelakar. Kena tegur dengan makcik,” tulis seorang pengguna Twitter.

Foto: Instagram Izubiela Zaff Marekan

Izubiela Rasi atau Bella, 29, ketika dihubungi wartawan berkata, dia singgah di pasar berkenaan kerana sudah lama tidak menjejakkan kaki ke lokasi seperti itu.

“Sudah bertahun tak masuk pasar dan tak pernah sekalipun berkunjung ke Pasar Besar Awam TTDI, walhal rumah saya tidaklah begitu jauh dari tempat ini. 

“Jadinya teringin. Sebab selalu beli barang runcit dan basah di supermarket. 

“Kenapa saya berpakaian sebegitu? Sebenarnya ada urusan lain selepas itu di sekitar pusat membeli-belah berdekatan. 

“Bagaimanapun gara-gara pakaian saya, ramai yang memberi reaksi pelik dan tidak kurang juga minta untuk bergambar,” katanya. 

Jelas Bella lagi, dia berpakaian sedemikian kerana mempunyai urusan lain selepas itu selain ingin melihat reaksi masyarakat terhadapnya yang berpakaian glamor ke pasar.

Sumber: mStarTwitter

Yanie Baharom