Categories: Trending

Bekas Pemain Gitar Kumpulan Rock Popular Ditahan Ketika Lalok Di Studio Rakaman

Bekas pemain gitar kumpulan rock popular bersama adiknya ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ketika sedang ‘lalok’ di sebuah studio rakaman di Petaling Jaya, semalam.

Kedua-dua individu berusia 46 dan 26 tahun itu ditahan dalam operasi AADK daerah Petaling bermula jam 9 malam.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua AADK Daerah Petaling, Mazlinna Kassim berkata, ketika ditahan, pihak AADK turut menemui beberapa bungkusan ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

“Dadah seberat 343 gram itu dipercayai untuk diedarkan kepada penagih dadah di sekitar daerah ini.

“Kedua-dua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam operasi sama, pihak AADK turut menahan tiga lelaki yang terbabit dalam penagihan dadah di sekitar Shah Alam.

“Ujian saringan yang dijalankan ke atas dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang positif dadah jenis opiat.

“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sumber & Kredit Foto: Harian Metro / AADK

Padin