Categories: Trending

Belum Terfikir Pulang Ke Amerika Syarikat, Yuna Siapkan Album Baharu Di Malaysia

Penyanyi tempatan yang menempa nama di peringkat antarabangsa, Yuna, 34, belum terfikir untuk kembali Amerika Syarikat dalam masa terdekat.

Hampir 10 tahun membangunkan karier muzik di sana, pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai ini sedang sibuk menyiapkan album baharu di Malaysia.

“Buat masa ini, belum ada niat untuk pulang ke sana. Perancangan itu ada, tapi bukan sekarang.

“Melihat kepada situasi terkini, saya rasa belum masanya untuk saya dan suami kembali ke sana.

“Jika sebelum ini saya sering sibuk dan berada di sana, syukur Alhamdulillah kerana kini saya dapat menghabiskan masa di Malaysia bersama keluarga.

“Kami akan tunggu sehingga disuntik vaksin, kemudian barulah kami merancang untuk kembali ke sana.

“Setahun kami sudah berada di Malaysia dan saya juga sudah ‘set up’ studio di rumah. Buat masa ini, saya juga sedang sibuk menyiapkan album baharu di sini,” katanya.

Album baharu terbabit merupakan album kelima untuk keluaran Amerika Syarikat.

“Kali terakhir saya mengeluarkan album untuk pasaran Amerika Syarikat adalah pada tahun 2019. Setakat ini, proses penghasilan album baharu berjalan lancar.

“Dengan kemudahan teknologi yang ada sekarang, semuanya boleh dilakukan atas talian sahaja. Insya-Allah, album ini dijangka akan berada di pasaran pada penghujung 2021,” katanya.

Pelantun lagu Penakut itu ditemu bual di sidang media virtual koleksi hijab terbaru kolaborasi antara jenama Putri N Rex dan Yuna semalam.

Tampil dengan tema “Embracing Sillaturrahim”, kolaborasi jenama ini akan muncul bersempena sambutan Hari Raya yang bakal menjelang tiba.

“Saya suka bekerjasama dengan jenama tempatan yang mempunyai aspirasi dan identiti sendiri seperti Putri N Rex.

“Menggunakan jenama ini semenjak dahulu lagi, saya yakin dengan apa yang dikeluarkan dan saya sendiri berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada jenama ini,” kata Yuna lagi.

Untuk info lanjut berkenaan dengan kolaborasi Yuna dan Putri N Rex, layari laman web rasmi mereka di https://www.putrinrex.com/

Padin