Categories: Trending

Dah ‘Ready’ Ke? Ini ‘Checklist’ Persediaan Menjelang Ramadhan Yang Korang Patut Tahu

Pejam celik pejam celik, kita sudah pun menghampiri bulan Ramadhan.

Dalam pada kita sibuk dengan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP yang dikuatkuasakan ini, apa kata luangkan sedikit masa untuk memperbaiki diri bagi menghadapi bulan Ramadhan yang pernuh barakah ini.

So, di kesempatan ini Xtra ingin senaraikan persediaan menjelang bulan Ramadhan yang wajib semua umat Islam ambil tahu dan amalkan. Jom semak!

Hidupkan Suasana Ramadhan Di Rumah

Apa yang kita perlu tahu, untuk hidupkan mood Ramadhan semuanya perlu bermula dari rumah. Sebelum semangat nak beraya, kenalah teliti dan bersiap-siap menghadapi Ramadhan. Barulah syok nak sambut Syawal nanti betul tak?

Sempena RMO ni mesti ada yang dah bosan tak tahu aktiviti apa untuk dibuat. So, menjelang Ramadhan ni, praktikkan solat berjemaah bersama keluarga di rumah. Korang juga boleh ikut cara keluarga Permasiuri Agong dengan bertadarus bersama-sama, ini secara tak langsung dapat membaiki bacaan tajwid kita.

Untuk menaikkan semangat lagi, belilah atau basuh sejadah dan pakaian solat kita seperti telekung dan kain pelekat. Bila kebersihan terjaga, barulah selesa dan khusyuk untuk menunaikan ibadat.

Kalau korang ada majalah islamik dekat rumah tu, letakkan di sudut ruangan bacaan di rumah. InshaaAllah rohani kita sentiasa terisi dengan kebaikan.

 

Tidur & Bangun Awal

Yup! Tidur awal sangat penting guys! Latih diri untuk tidur awal supaya tubuh kita akan menerima rehat yang cukup supaya bertenaga untuk keesokan harinya. Kerja kerja juga, tapi jangan lah sampai stay up lewat malam ye.

Try ubah corak tidur yang dapat membantu rutin Ramadhan korang seperti bangun awal 30 minit sebelum masuk waktu subuh. So, nanti kita gunakan beberapa minit di awal pagi itu untuk kita melakukan solat-solat sunat. Bila dah biasa nanti, rutin Ramadhan akan jadi mudah!

 

Jaga Kesihatan Tu!

Tubuh badan kita ini merupakan amanah daripada Allah. Jaga kesihatan bermaksud memelihara tubuh badan kita daripada pemakanan yang tidak seimbang dan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok.

Jadi korang, tinggalkan rokok dan pengambilan makanan yang tidak sihat supaya kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan baik. 70 peratus daripada badan kita mempunyai air, jadi banyakkan minum air kosong dengan banyak untuk elakkan hidrasi.

 

Ambil Tahu Amalan Sunat

Bulan puasa inilah kita nak meraih banyak pahala sebab setiap amalan yang kita lakukan, berlipat ganda pahala yang diberikan. Ambil tahu amalan-amalan sunat yang boleh kita lakukan sewaktu berpuasa nanti. Setidak-tidaknya kita sudah pun bersedia untuk menjalankan aktiviti harian ketika Ramadan nanti.

Antara amalan sunat tersebut ialah membaca Al-Quran, lebihkan bersolat sunat Taubat dan sunat lain, berzikir dan bersedekah.

 

Semak Hukum & Rukun Puasa

Dalam banyak-banyak perkara, jangan tinggalkan part ini guys. Disebabkan Ramadhan yang tiba setahun sekali mesti ada yang lupa tentang hukum-hakam dan rukun puasa.

So, semak semula hukum hakam, rukun serta perkara-perkara membatalkan puasa dan sebagainya melaui sumber rujukan yang betul. Perkara ini sangat penting untuk kita ambil tahu supaya nanti ibadah yang kita lakukan tidak sia-sia.

 

Rancang & Tetapkan Matlamat Korang

Akhir sekali, rancang rutin Ramadhan tahun ini dengan sempurna dan tetapkan hati untuk melaksanakan apa yang korang ingin capai. Untuk lebih tersusun dan elakkan daripada terlupa, apa kata korang catatkan aktiviti korang dalam buku Ramadhan Planner yang banyak terjual di pasaran sekarang ini. Nak lebih mudah, aplikasi di telefon bimbit juga banyak tersedia, download sahaja!

 

So guys, macam mana kita ready untuk menghadapi interview pekerjaan atau peperiksaan, macam itu jugalah kita perlu banyakkan persediaan dalam mengerjakan rukun Islam keempat ini,

Jangan sia-siakan peluang ni kerana fikirlah, mungkin ini akan menjadi Ramadhan terakhir kita. Tepuk dada tanya iman, sudah bersediakah kita?

Selamat beramal semua.

Syafiqa Irdina