Categories: Trending

Dapat Idea Cipta Lagu Baru Dalam Lokap, Da’i Syed Tak Takut Kena Boikot

Pendakwah muda, Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 26, kini tampil dengan single terbaru berjudul Ya Habib.

Jelas Syed, dia mendapat idea ketika menjalani tahanan reman di lokap di Pusat Tahanan Reman Sementara di Beranang.

“Menerusi lagu Ya Habib, genre yang diketengahkan adalah pop elektronik dengan campuran nuansa muzik Arab dan Asia.

“Lagu ini dihasilkan oleh Blackdeer Entertainment yang diwakili oleh komposer-komposer Adam Armin, Yusuff Khan, Ryan Deedat dan Adly Kiddy, dengan lirik hasil nukilan Da’i Syed sendiri untuk julung kali.

“Ya Habib mengisahkan tentang seseorang yang sedang mencari arah tuju hidup di mana dia telah menerima didikan dari seorang guru sebelum meneruskan perjalanan.

“Walaupun berbekalkan ilmu gurunya, perjalanan hidup yang diteruskan tidak seperti yang disangka. Ini memaksa dia untuk pulang semula kepada gurunya, ditemani rintihan tentang dunia yang dikejarnya.

“Saya dapat idea nukilan untuk mencipta bait-bait lirik lagu ini ketika berada di tahanan lokap,” katanya.

Syed didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya.

Manakala, di Mahkamah Shah Alam pula, Syed menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.

Syed dibebaskan dengan bayaran ikat jamin RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya pada 15 Disember 2020 dan sebutan kes di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac dan di Mahkamah Petaling Jaya pada 19 Mac ini.

Tambah Syed, dia juga tidak takut sekiranya ada yang mahu memboikot single terbaru nyanyiannya dek kerana tempias kontroversi yang berlaku.

“Saya tak takut kerana saya mahu fikirkan yang baik-baik sahaja. Saya mahu memandang sudut pandang yang baik dan akan positifkan semua orang.

“Saya sendiri tak fikirkan orang yang mengeji atau mahu meminggirkan saya itu salah. Saya tak salahkan sesiapa, malah saya juga sentiasa memaafkan semua orang.

“Lebih baik saya berdiam diri dan memandang positif. Kalau ada orang baling batu, saya tak akan baling semula batu, saya akan bagi buah,” katanya.

Selain melancarkan single, Syed turut melancarkan produk wangian DYXY Ya Habib Collection bersama Ketua Pegawai Operasi jenama terbabit, Shah Hafiz Borhannudin.

Padin