Categories: Trending

DidikTV Bantu Tingkatkan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Buat Pelajar

Wabak COVID-19 yang melanda dunia memberikan kesan mendalam kepada pelajar. terutamanya kepada mereka yang sedang melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan saluran khusus untuk TV Pendidikan, DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini untuk membantu memudahkan pelajar yang tidak mempunyai akses internet yang mencukupi untuk mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada waktu sebegini.

Dalam pada itu, ia turut dapat menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat bermaklumat serta akan menjadi platform memperkasakan budaya ilmu.

Ini merupakan kali pertama KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian bermula dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari!

Ia merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

Ini juga membolehkan ibu bapa turut meluangkan masa untuk menonton DidikTV bersama anak-anak.

Menariknya, DidikTV dapat membantu menyelesaikan masalah PdPR terutama buat pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman dan mempunyai masalah kemudahan peranti serta capaian internet.

DidikTV turut memberikan kandungan yang lebih menyeluruh dan turut mampu membantu guru yang kurang mahir dalam aspek teknologi terkini.

DidikTV juga akan menyiarkan program-program berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM, antaranya ialah berita mengenai dunia pendidikan dari peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6.

Selain itu, DidikTV juga menyiarkan program bercorak didik hibur (edutainment), kandungan yang dihasilkan oleh murid dan kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid turut menjadi wadah untuk semua pelajar.

Bagi tenaga pengajar pula, mereka terdiri daripada guru-guru berpengalaman dalam bidang masing-masing supaya kualiti pengajaran yang disampaikan kepada murid adalah pada tahap terbaik.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata:

“Saya percaya dan yakin ramai dalam kalangan warga pendidik kita mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif.”

“Ia sekaligus akan menjadikan standard pengajaran yang sama di seluruh negara.”

Program ini juga membantu para pelajar terutamanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan dengan slot ‘Road to Success SPM 2020’.

Ibu bapa serta anak-anak di rumah tak perlu risau dah okay? Anda boleh terus tonton dan alami PdPR dengan lebih efektif melalui saluran khusus DidikTV di ntv7.

Selain itu, jangan lepaskan peluang korang untuk sertai pertandingan Tonton, Rakam & Kongsi!

Nak tahu lebih lanjut, anda tengok gambar di bawah ini dan ikut saja langkah penyertaan itu.

Selamat mencuba dan selamat belajar semua!

Padin