Categories: Trending

Dinobat Sebagai Puteri Muslimah Asia 2018, Uyaina Bangga Harumkan Nama Malaysia

Tahniah diucapkan kepada Uyaina Arshad di atas kemenangannya sebagai Puteri Muslimah Asia 2018.

Kejayaan itu tentunya merawat kekecewaan Uyaina yang tidak dapat mengacarakan program Nona pada tahun ini selepas memberikan corak pengacaraan yang baik pada musim sebelumnya.

Mengulas kemenangannya, pengacara Wanita Hari Ini (WHI) berusia 25 tahun itu berkata,  dia tidak menjangka akan menjadi juara pertandingan yang telah berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Isnin.

“Nona merupakan program pertama dan saya mengendali program itu selama dua tahun. Apabila diberitahu saya tidak lagi mengacara program itu, mestilah rasa sedih.

“Tapi alhamdulillah, kesedihan itu sebenarnya ada hikmah. Saya dapat mencuba nasib dalam pertandingan Puteri Muslimah Asia yang buat pertama kalinya diadakan di Jakarta, Indonesia.

“Tapi sejujurnya, saya memang tidak sangka akan dapat menjadi juara Puteri Muslimah Asia 2018 ,” katanya.

Foto : Malaysia Gazette

Kemenangan itu melayakkan Uyaina membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, tiara dan trofi.

Bekas juara Nona Manis 2015 itu menewaskan dua lagi calon iaitu Hanifah Razan, pemenang tempat kedua dari Indonesia dan Avida Lale (Turki) yang memenangi tempat ketiga.

Turut diumumkan, Anugerah Puteri Muslimah Persahabatan Asia 2018 yang dimenangi Mala Daud dari Brunei, Puteri Muslimah Berbakat Asia 2018 (Beyza Demir – Turki) dan Puteri Muslimah Favorit Asia 2018 (Avida Lale – Turki).

Pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 yang julung kali dianjurkan stesen TV Indosiar itu menghimpunkan 18 peserta dari enam negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Turki dan Timor Leste.

Dalam pada itu, Uyaina memberitahu dia sanggup berulang alik dari Malaysia ke Indonesia jika mendapat tawaran dari negara tersebut.

“Pihak penganjur ada beritahu yang mungkin saya akan dapat tawaran di sana. Tapi tak nak letak harapan tinggi.

“Namun, kalau diberi peluang saya sanggup ulang alik Malaysia ke Indonesia. Pertandingan itu membuat ruang dan peluang untuk saya tembus pasaran di sana.

“Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik dan tidak akan sia-siakan peluang yang ada,” ujarnya.

Foto : Salaam

Sumber : mStar

Yanie Baharom