Categories: Trending

Emas & Wang Bernilai Lebih RM0.5 Juta Lesap, Pemuda Ditipu Pasangan Sejenis Bergelar ‘Tengku’

Seorang lelaki berusia 20-an berputih mata apabila sejumlah barang kemas milik ibunya bernilai RM370,000 dan wang tunai berjumlah RM201,000 lesap akibat ditipu oleh pasangan sejenis.

Lebih mengeruhkan keadaan, lelaki yang merupakan peniaga ‘online’ diugut akan disebarkan video bogel oleh ‘teman lelakinya’ yang kononnya kerabat diraja.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pada penghujung Mei, mangsa berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama gelaran ‘Tengku’ di aplikasi media sosial untuk golongan sejenis.

“Sebaik sahaja berkenalan, suspek bertanyakan mengenai emas dan apabila mangsa menyatakan bahawa ibunya memiliki banyak barang kemas, suspek meminta lelaki itu menyerahkan barangan berkenaan untuk diliihatnya sebagai bukti kesetiaan dan kasih sayang mangsa kepadanya.

“Mangsa yang terpedaya dengan janji suspek kononnya akan memulangkan kembali barangan kemas itu membuat dua kalli penghantaran iaitu pada 31 Mei menggunakan perkhidmatan teksi diikuti 2 Jun lalu dengan e-hailing kepada pembantu peribadi ‘Tengku’ yang berada di Kota Bharu,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Shafien, sepanjang tempoh perkenalan juga, mangsa turut membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah RM201,000 ke dua akaun bank milik individu pihak ketiga atas alasan serupa serta turut dijanjikan hadiah sebuah kenderaan trak pikap.

Disebabkan suspek tidak pernah datang berjumpa mangsa dan tidak memulangkan kembali barang kemas milik ibunya, mangsa membuat laporan polis pada Selasa lepas selepas merasakan dirinya tertipu.

“Suspek juga terus memaksa mangsa menyerahkan wang kepadanya termasuk mengugut untuk menyebarkan video bogel mangsa.

“Kes kini dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum sepuluh tahun serta dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Padin