Featured By: Yanie Baharom April 1, 2019 @ 10:00am

FIGURA APRIL 2019: Jamila dan Shuhadah, dua gadis autistik jana pendapatan dengan melukis dan menyanyi!

Keterbatasan komunikasi menyukarkan temubual, namun itu bukan halangan kepada penulis untuk memahami naluri hati dua anak syurga, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, 16, dan Norshuhadah Salleh, 20.

Banglo mewah yang dinamakan sebagai Art Jamila Gallery terletak di Seksyen 7 Shah Alam, memukau pandangan dengan ratusan lukisan sarat permainan warna dan subjek yang dekat dengan hatinya dan ternyata Jamila mengagumkan kami dengan bakat melukis luar biasa yang dimilikinya.

Kucing, bunga, rama-rama, katak, banggunan pencakar langit, masyarakat majmuk sehinggalah karakter Repunzel, kesemua motif ini diterjemahkan Jamilah ke dalam karya lukisan naif .

 

Diiktiraf sebagai pelukis profesional setara pelukis handalan tempatan, Jamila gadis autistik yang menjana pendapatan ratusan ribu ringgit melalui jualan karya lukisannya.

Manakala Norshuhadah yang berasal dari Negeri Sembilan pula, pernah menggemparkan Malaysia dengan berita penularan video menyanyikan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Biarlah Rahsia, dimuat naik Metro TV Malaysia pada 18 April 2017.

Memahami hanya sebilangan kecil pertanyaan penulis, Shuhadah bercita-cita menjadi penyanyi dan amat mengangumi diva nombor 1 negara itu.

Dengan keupayaan terbatas yang mereka miliki, kedua-duanya mampu membuktikan autisme bukan penghalang untuk seseorang itu mempunyai impian seperti insan lain. Ibu bapa harus lebih bijak mengenali kelebihan anak istimewa ini.

Untuk keselesaan Jamila dan Shuhadah, fotografi yang dilaksanakan Hijab & Heels bersempena Sambutan Hari Autisme Sedunia yang disambut setiap kali menjelang 2 April, memberi kepercayaan kepada jurusolek, Emma Mohd untuk menata rias wajah mereka. Sebagai ibu kepada anak autistik, Emma tentunya arif dan bersedia mengendalikan mereka.

 

Jom kita kenali Jamila melalui temubual bersama ibunya, Profesor Noorhashimah Mohamed Noordin dan Shuhadah yang diwakili abangnya, Mohamad Nurhakim Salleh menerusi wawancara NORHADIANI BAHAROM. Momen dirakamkan jurugambar MUHAMMAD MUCTAR.

WAN JAMILA WAN SHAIFUL BAHRI

Hijab&Heels (H&H): Bila agaknya Jamila mula minat melukis?

Prof Noorhashimah: Jamila mula melukis pada 2006 dan ketika itu dia berusia 4 tahun. Lukisan adalah wadah untuknya berkomunikasi dan mengekspresikan diri mengenai  apa yang dirasai dan dilaluinya.

Semasa berusia empat tahun juga, dia suka melakar wajah perempuan menangis. Memang ketika itu kehidupan Jamila tidak menggembirakan.

Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan kami tidak faham apa yang dia mahu dan dia tidak faham mengenai kami. Dia tidak bercakap dan hidupnya asyik buat lakaran saja. Jadi semua lakarannya adalah perempuan menangis!

 

H&H: Bila Prof mula menyedari Jamila boleh diketengahkan sebagai pelukis profesional?

Prof Noorhashimah: Bila dia sudah besar sikit, Jamila mula membuat lakaran mengenai apa yang dilaluinya setiap hari di sekolah dan di rumah.

Menjangkau usia 10 tahun, saya lihat lakarannya semakin bagus, memang saya sendiri pun tidak boleh buat apa yang dia hasilkan itu.

Kualitinya makin baik, dengan sedikit ilmu yang saya  ada sebagai arkitek saya mula memberi tunjuk ajar kepadanya proses yang betul untuk menghasilkan karya termasuklah proses untuk melukis lapisan pertama dan kedua dengan menggunakan cat air.

Kemudian apabila umur dia 14 tahun, saya mengundang seorang pelukis tempatan datang dan memberikan pendapat  terhadap hasil kerja Jamila, sama ada dia boleh pergi jauh atau tidak.

Nasihat pelukis itu, Jamila memang ada bakat semula jadi and shes born with it, malah boleh diketengahkan lebih jauh.

H&H: Bagaimana Jamila memperoleh idea sebelum memulakan sesuatu lukisan?

Prof Noorhashimah: Apabila Jamila diminta menghasilkan satu lukisan misalnya berkaitan Kemerdekaan, karya yang dihasilkannya itu sebenarnya pernah dilukis semasa dia bersekolah rendah lagi.

Saya ibarat penyiasat persendirian kerana saya ingin tahu dari mana dia mendapat idea untuk menghasilkan lukisan ini, jadi saya semak semua buku sekolah rendah dan lakaran yang pernah dihasilkan.

Topik Kemerdekaan contohnya, Jamila menerapkan perbezaan dan kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia dengan menggunakan imaginasinya sendiri serta penggunaan warna ceria.

Setiap lukisannya, mengimbau memori tertentu atau peristiwa yang pernah dilihat atau dikunjunginya. Lukisan ikan misalnya menggunakan teknik mozek, Jamila memperoleh idea itu selepas pulang dari Geopark Langkawi. 

 

H&H: Bagaimana Prof melihat peluang dan perkembangan kerjaya Jamila sekarang?

Prof Noorhashimah: Alhamdulillah, sekarang ini Jamila sudah mula mendapat jemputan daripada galeri tertentu untuk mempamerkan lukisannya. Selain itu, dia juga turut menerima undangan membuat pameran utama yang turut disertai pelukis profesional Malaysia.

Tahun ini jadual Jamila padat sehingga bulan Julai, di mana namanya terpilih sebagai salah seorang pelukis yang akan menyerikan pameran lukisan antarabangsa.

Sementara menanti Julai, Jamila juga mendapat tempahan lukisan daripada hotel bertaraf 5 bintang, yang membeli lukisannya untuk dipamerkan di dalam bilik hotel juga di ruangan tertentu.

Pihak hotel membelinya dengan harga melebihi RM150,000.

 

H&H: Pada usia berapakah Jamila dikesan mempunyai masalah austime?

Prof Noorhashimah: Kami mengesan Jamila mempunyai masalah ini semasa dia berumur dua tahun setengah.

Ketika itu, dia sudah mempunyai adik berusia setahun setengah  dan  sudah mula belajar bercakap, pandai menyebut mummy dan daddy, tetapi Jamila tidak seperti adiknya. Dia senyap, gemar menyendiri, bermain pun seorang diri dan tidak pandai bergaul.

Dulu orang cakap, biasalah kalau budak sampai umur empat tahun pun masih tidak pandai bercakap. Kami pun tidaklah berasa bimbang dan menganggap mungkin Jamila termasuk dalam kategori anak yang lambat bertutur. Kami pun tidak buat apa-apa.

Tapi ada satu hari ketika membawanya ke Subang Parade untuk bermain indoor playground di mana kanak-kanak boleh bermain secara berkumpulan, saya lihat Jamila ‘lain’ daripada kanak-kanak sebayanya.

Tidak lama kemudian saya membuat keputusan untuk membawanya membuat pemeriksaan kesihatan di klinik swasta seterusnya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), untuk diagnosis masalah yang dialami Jamila. Secara formal, keputusan doktor mendapati Jamila ada karekteristik autisme.

H&H: Cabaran dalam membesarkan anak autisme di kala Prof sendiri menghidap kanser kolon peringkat 4?

Prof Noorhashimah: Sebenarnya dua tahun lepas adalah detik saya  mendapat tahu yang saya menghidap kanser  kolon tahap 2 ketika itu. Selepas menjalani pembedahan sebanyak dua kali, didapati kanser yang saya hidapi tidak merebak ke bahagian organ yang lain, sekali gus tidak memerlukan saya menjalani kimoterapi kerana tiada keperluan untuk tujuan itu.

Sebaik sembuh daripada pembedahan yang mengambil masa lapan bulan untuk proses pemulihan, saya terus all out  dan mengalihkan perhatian saya dengan membantu Jamila mencipta nama sebagai pelukis.

Tahun ini tahun yang baik sebenarnya, kerana bukunya My Journey with Art Jamila baru sahaja diterbitkan dan seperti saya katakan tadi Jamila mula menerima jemputan untuk menghadiri pameran yang berprestij. Tiba-tiba tahun ini juga saya mendapat tahu, kanser yang saya hidapi sudah peringkat 4.

Jadi saya tunjukkan kepada doktor perancangan yang telah saya lakukan untuk Jamila pada tahun ini, supaya doktor boleh tetapkan tarikh yang bersesuaian untuk menjalani rawatan kimoterapi.

H&H: Harapan Prof untuk Jamila?

Prof Noorhashimah:  Saya mahu dia mampan dalam kerjaya seninya, terkenal di peringkat antarabangsa serta dapat membuka kelas untuk mengajar anak autistik yang berminat dalam lukisan supaya dia mempunyai pendapatan sendiri kelak. Seperti sekarang ini pun, Jamila sudah banyak menerima permintaan.

Sebagai ibu, saya juga berharap pulih daripada kanser atau setidak-tidaknya mampu berjuang untuk lima tahun lagi supaya dapat membantu Jamila untuk hidup berdikari.

 

NORSHUHADAH SALLEH

 

H&H: Sejak bila keluarga menyedari Shuhadah mempunyai masalah austime?

Hakim: Kami menyedari Shuhadah bermasalah ketika dia berusia tiga tahun,  kerana  dia masih belum boleh bercakap. Berbeza dengan kanak-kanak lain, ada yang berusia setahun lebih sudah pandai menyebut beberapa perkataan mudah. Sebaliknya Shuhadah hanya bersuara bila menangis.

H&H: Shuhadah pernah menggemparkan Malaysia dengan berita penularan video dia mengalunkan lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Biarlah Rahsia, dua tahun lalu. Sejak bila Shuhadah minat menyanyi?

Hakim: Dia mula menyanyi ketika menuntut di sekolah menengah. Guru Shuhadah melihat dia mempunya potensi menyanyi dan berani membuat persembahan di khalayak ramai.

Kalau ada acara persembahan di sekolah, memang dia sahajalah yang akan diminta menyanyi.

Kadang kala dia juga menerima jemputan membuat persembahan untuk majlis yang membabitkan komuniti istimewa seperti Shuhadah.

 

H&H: Siapa idola Shuhadah dan bagaimana cara dia menghafal lagu?

Hakim: Tidak lain tidak bukan Datuk Seri Siti Nurhaliza! Mungkin CD (cakera padat) pertama yang dilihat dan didengarnya ialah lagu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Shuhadah mempunyai telefon bimbit sendiri. Jadi cara dia menghafal lagu, adalah dengan menonton klip video yang terdapat senikata lagu.

Paling dia suka, tentulah lagu Siti Nurhaliza tetapi jika diminta menyanyikan lagu lain, dia juga boleh. Misalnya lagu Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad.

H&H: Kelebihan Shuhada berbanding gadis autisitik sepertinya?

Hakim: Kalau dibandingkan dengan individu autistik yang lain, Shuhadah boleh menguruskan diri sendiri. Masuk saja waktu Maghrib, dia akan terus ke bilik air membersihkan diri dan menyiapkan diri sendiri.

Kemudian, dia akan menonton televisyen, tapi kalau program itu membosankan, dia akan masuk tidur seawal jam 9 malam. Begitu juga bila makan, Shuhada pandai mengambil makanannya sendiri tanpa perlu dibantu.

Dia gemar makan nasi bersama kuah tidak kiralah sama ada asam pedas, sup atau masak lemak.  Lauk  kegemarannya ialah ayam goreng!

H&H: Adakah Shuhadah seorang yang aktif?

Hakim: Boleh dikatakan aktif  kerana ketika di sekolah rendah Shuhadah pernah mewakili Negeri Sembilan untuk acara balapan, bagaimanapun dia gagal membawa pulang sebarang medal. Daripada cerita arwah ayah yang menyaksikan pertandingan itu, Shuhadah berlari terlalu laju sehingga dia disingkirkan.

Mungkin juga disebabkan peserta yang lain terdiri daripada golongan kurang upaya seperti tempang dan sebagainya, sedangkan Shuhadah pula  sifat luarannya tampak seperti tiada sebarang masalah walaupun dia sebenarnya menghidap autistik.

H&H: Difahamkan Shuhadah gemar melaram?

Hakim: Ya memang betul! Shuhadah suka melihat laman sesawang Watson atau apa saja hub kecantikan dan kalau ada barangan yang dia berkenan atau mahu, dia akan maklumkan kepada emak.

Emak ibu tunggal dan tidak bekerja, lazimnya apa yang diminta oleh Shuhada diluar kemampuan, jadi dia biasanya akan merajuk. Paling teruk pun, melarikan diri ke rumah gurunya yang berdekatan dengan kediaman kami.

 

 

Foto: Muhammad Muctar

 

PENAJA WARDROBE

JAMILA : @emin_madrosa (Instgaram)

SHUHADA: @zayanayazed_official (Instagram)

SOLEKAN: @emmamohd_mua

 

 

 

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Eat Travel Tue, 20 Aug 2019
Trending Tue, 12 Mar 2019

Wanita diserang harimau bintang setelah memanjat pagar untuk swafoto

Hendak mengambil gambar pun, perlu fikir keselamatan diri juga.

Acara Fri, 19 Aug 2022

Aqila Afindi Dinobat Sebagai Ikon Wanita Melayu 2022

Pemenang Pencarian Wanita Melayu 2022

Featured Wed, 1 Mar 2023
Trending Tue, 23 Jul 2019

Doa rezeki ‘seluas langit’ Neelofa tular!

Jom tingkatkan amalan berdoa setiap hari.

Eat Travel Sat, 16 May 2020

‘Laut terbelah’ tarikan terbaharu Langkawi dan ia hanya berlaku pada bulan ini sahaja

Rasai berjalan kaki sejauh 600 meter di atas beting pasir