Categories: Trending

Gemar Bungkus Makanan Berlebihan & Berjimat Cermat, Elisya Sandha Dipanggil ‘Minah Tapau’

Dek kerana sikapnya yang gemar membungkus makanan berlebihan dan berjimat cermat, pelakon Elisya Sandha mendapat gelaran ‘Minah Tapau’.

Tapi, jangan salah sangka, itu hanyalah watak yang dibawakan oleh Elisya dalam drama bersiri terbaru slot Lestary berjudul Hello, Jangan Tapau Cintaku bersiaran bermula 4 Ogos ini.

Drama bersiri 13 episod ini diterbitkan oleh MacheAllStar United Sdn. Bhd, diarahkan oleh Idora Abdul Rahman dengan nukilan skrip oleh Norazwanizan Awang merupakan adaptasi novel karya penulis Hasreeyati Ramli.

Bersiaran setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9 malam di TV3, drama bersiri ini dibintangi oleh Elisya Sandha (Ain Dheya), Nafiz Muaz (Ash Fayyad), Eyka Farhana (Ann Dayana) dan Syerinie Myra (Alia).

Drama ini juga menampilkan Sefik Khair, Ikhwan Khairudin, Azri Iskandar, Amyza Aznan, Dynas Mokhtar, Lisdawati, Badrul Muhayat dan Cahaya Nilam sebagai pelakon.

Drama ini mengisahkan Ain Dheya yang baru mula bekerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota. Berasal dari keluarga yang susah, Ain Dheya belajar cara hidup sederhana dan berjimat cermat.

Dikenali dengan panggilan ‘Minah Tapau’, Ain tidak kisah pandangan orang lain dan yang paling penting dia tidak suka membazir. Niat utamanya ialah meringankan beban ibunya, Mak Jah di kampung.

Pak Long Asmadi mula berhasrat untuk menjual tanah yang sebahagiannya adalah tapak rumah yang didiami Mak Jah anak beranak. Atas sebab itu, Pak Long meminta mereka membayar hutang sewa tanah dengan nilai RM30,000 dalam masa dua bulan.

Ain mula mengenali perangai majikannya, Ash Fayyad, seorang anak hartawan yang pemboros, suka menyakitkan hati orang di sekelilingnya dan sombong. Apabila Ash Fayyad menawarkan gaji bulanan sebanyak RM5,000 kepada sesiapa sahaja yang sanggup menjaga dan mengurus adik perempuannya yang berkerusi roda, Ain Dheya menerima tawaran itu.

Ain Dheya sangat terdesak memerlukan duit untuk membayar hutang sewa tanah orang tuanya menerima tawaran tersebut tanpa berfikir panjang. Baginya dengan gaji yang akan diperolehi nanti bolehlah dia melunaskan hutang sewa tanah Pak Longnya walaupun secara ansur-ansur.

Selain itu, penggemar drama Melayu jangan lupa untuk menonton Hello, Jangan Tapau Cintaku menerusi slot Lestary TV3 mulai 4 Ogos 2021, setiap Rabu hingga Sabtu, pukul 9:00 malam dan perkhidmatan penstriman iQIYI pada hari yang sama ia ke udara di seluruh Malaysia.

Apabila disiarkan kelak, siri drama ini berserta sari kata dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris akan dapat diakses untuk ditonton oleh semua untuk percuma pada bila-bila masa melalui www.iQ.com atau muat turun aplikasi iQiyi di App Store dan Play Store atau melalui http://bit.ly/iQIYI.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!

Padin