Categories: Trending

Jadi Cikgu, Ben Amir Belajar Budaya Orang Asli

Mencurahkan bakti terhadap anak bangsa, pelakon Ben Amir menyelami dan mempelajari budaya Orang Asli.

Melakonkan watak seorang guru, Ben mendalami karakter terbabit untuk drama bersiri Anak Sena terbitan Kembara Sufi yang bakal disiarkan di TV3 tidak lama lagi.

Karya Anak Seni ini berkisar mengenai susah payah seorang kanak-kanak berasal dari masyarakat Orang Asli yang menceburi sukan bola sepak.

Dalam drama bersiri ini, Ben memegang watak sebagai Cikgu Amir, seorang guru yang menjadi jurulatih bola sepak.

“Saya baru sahaja habis penggambaran drama bersiri terbabit sebelum Ramadan bermula. Saya rasakan naskhah ini sangat baik dan jalan ceritanya juga bagus.

“Ia mendekatkan orang ramai dengan budaya Orang Asli dan saya sendiri mendalami budaya mereka untuk rasa lebih dekat dengan watak yang saya lakonkan.

“Alhamdulillah, penggambaran berjalan lancar dan ia dijangka menemui penonton sekitar Ogos ini jika tiada aral melintang,” katanya.

Dalam pada itu, penerbit Anak Sena, Jaja Ishak memuji komitmen yang diberikan oleh Ben meskipun dia terpaksa memakai rambut palsu.

“Dia merupakan seorang pelakon yang meningkat naik. Selain itu, Ben seorang artis yang berdisiplin, pihak produksi tak ada masalah untuk bekerjasama dengan Ben.

“Memandangkan Ben mempunyai rambut panjang dan ia tidak sesuai dengan karakter guru, kami terpaksa memakaikan rambut palsu untuk menjadikan karakter terbabit lebih realistik.

“Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja dan saya sendiri tak sabar menantikan reaksi penonton apabila drama bersiri Anak Sena ditayangkan tidak lama lagi,” kata Jaja.

Selain Ben, drama bersiri arahan Bahri Uma ini menampilkan Hadi Putra, Sasha Abedul, Farah Ahmad, Nadiah Aqilah dan Azwan Ali.

Padin