Akibat Curi Duit Surau – Jejaka Diperlakukan Seperti Mandi Jenazah, Netizen Anggap Ia Satu Hukuman Memalukan Agama

Tular sebuah video di media sosial menunjukkan seorang pemuda yang didakwa mencuri duit surau melalui proses mandi jenazah dan ia dilakukan oleh beberapa jemaah.

Video berdurasi 1:26 minit itu mempamerkan seorang lelaki tua yang dipercayai imam mengetuai mandian jenazah terhadap pemuda terbabit bersama beberapa orang kampung.

Pemuda itu dilihat seperti meronta dan dia kemudiannya ditaburi kapur barus yang digunakan kepada jenazah yang sudah meninggal sambil mukanya ditutup dengan kain.

Video yang dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook itu didakwa diperolehi menerusi mesej di aplikasi WhatsApp ‘Surau SAF’ tetapi lokasi sebenar kejadian masih lagi tidak diketahui.

Melihat reaksi dan komen yang ditinggalkan oleh netizen di beberapa aplikasi media sosial, rata-rata mempersoalkan hukuman yang diberikan.

Ada juga yang mempertikai mengapa ia harus ditularkan.

“Tidak mempamerkan watak seorang imam”

“Ramai yang bagi emoji gelak, dah jadi satu bahan lawak. Bahagian mana boleh insaf? Dengan kapur barus itu ke?” soal pengguna Facebook bernama Wanda Sulaiman.

“Perlakuan sebegini tidak mempamerkan watak yang sepatutnya dipertontonkan oleh seorang imam. Setiap wajah-wajah yang dipertontonkan adakah telah mendapat keizinan atau persetujuan dari mereka sebelum dipaparkan di Facebook? Sekadar pandangan,” komen Mohd Ramli tentang isu menularkan video.

“Biar polis buat kerja. Bukan kerja kita nak hukum orang. Budak itu ada ibu bapa. Kalau anak salah seorang yang ada dekat situ confirm tak viral. Yang pakai serban pun… Haih. Jangan anggap kita suci. Kita semua pendosa. Kita semua bakal jenazah,” komen June Mohammad.

Sementara itu, beberapa pengguna Twitter juga tidak bersetuju tindakan warga surau yang memperlakukan pemuda itu sebegitu.

Kebanyakannya menyifatkan tindakan itu tidak mencerminkan agama Islam yang sebenar.

“Kaedah mendidik cara Islam ke ni Pak Imam? Makin ke lautlah jawabnya kalau contoh begini yang Islam anjurkan,” tulis @saifulnizam769

Ada juga mengatakan tindakan warga surau yang meletakkan kain basah ke atas muka pemuda itu satu perbuatan yang melemaskan dan boleh menyebabkan trauma.

Arfah