Anggota Trafik Iringi Anak Ahli Parlimen Dikenakan Tatatertib

Sebelum ini, heboh di ruangan media sosial sebuah video yang memaparkan anggota polis trafik mengiringi golongan VVIP menimbulkan pelbagai respons orang ramai.

Menurut pihak polis, siasatan telahpun dijalankan berhubung kejadian itu selepas rakaman video berdurasi 20 saat menjadi perbualan netizen sejak 7 Mei lalu.

Memetik laporan Harian Metro, difahamkan dua anggota polis trafik tersebut dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Polis Pulau Pinang sebelum ini membuka kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parliman BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown,” ujar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menerjah ke ruangan komen Facebook Harian Metro, ramai dalam kalangan netizen yang tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan terhadap dua anggota berkenaan.

Menurut mereka, anggota tersebut tidak seharusnya dikenakan tindakan kerana mereka dipercayai menerima arahan sahaja, justeru tidak wajar hukuman dijatuhkan terhadap individu tidak bersalah.

Aqilah Paharuzi