Bekas Diplomat & Anak Mengaku Tidak Bersalah Tanam 102 Pokok Ganja

Seorang bekas diplomat dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah atas dakwaan menanam sebanyak 102 pokok yang disyaki pokok ganja di Mahkamah Sesyen Raub pada Rabu.

Tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan anaknya Mohamed Rizal Zainal Abidin Alias, 53, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Namun, kedua-dua tertuduh membuat permohonan untuk dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa menanam 102 pokok ganja di Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik, Bentong pada 21 Mei lalu.

Untuk kesalahan berikut, mereka didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan maksimum enam kali jika disabit kesalahan.

Perbicaraan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab Karim bersama Hayda Faridzal Abu Hassan dan Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

Setakat ini, tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 julai depan.

Sumber: Awani

Atiqah Johari