Berang Anak Ditampar, Bapa Bertindak Cekik & ‘Hempas’ Rakan Sekelas Anak

Kecoh di ruangan media sosial mengenai seorang murid tahun tiga sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu cedera di bahagian kepala akibat dicekik, diangkat dan dilepaskan ke tanah oleh salah seorang bapa rakan sekelasnya.

Difahamkan, bapa terbabit bertindak sedemikian kerana berang anaknya dikatakan ditampar oleh rakan tersebut.

Kejadian cemas tersebut berlaku pada Ahad lalu kira-kira jam tengah hari ketika mangsa berada di luar pagar sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din memaklumkan insiden berkenaan berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan rakannya iaitu anak keapda suspek.

“Sebelum kejadian, mangsa telah bermain sebelum bergaduh dengan rakan sekelasnya di luar pagar sekolah. Mangsa dikatakan telah menampar rakan sekelasnya itu. Apabila bapa rakannya datang, rakan mangsa telah mengadu dia ditampar oleh mangsa,” katanya.

Tindakan agresif suspes yang mencekik dan mengangkat mangsa sebelum menghempasnya telah menyebabkan kepala mangsa (rakan sekelas) mengalami luka kecil berkemungkinan akibat terkena batu.

Susulan daripada itu, pihak sekolah menghubungi bapa mangsa sebelum membuat laporan polis mengenai insiden tersebut untuk tindakan lanjut.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sumber: Berita Harian/Utusan

Aqilah Paharuzi