Dihasilkan Sejak 10 Tahun Lalu, Lagu ‘Malu’ Mungkin Jadi Buah Tangan Terakhir Syafiq Naser

Bermula dengan video-video lucu yang sering dimuat naik di Instagram sehingga dikenali sebagai selebriti media sosial, Syafiq Naser kini semakin berjinak-jinak dalam dunia seni suara.

Terdahulu, dia pernah mengeluarkan single pertamanya, Lenggang yang meraih perhatian ramai apabila lagunya itu dimainkan sebagai lagu tema drama bersiri The Maid.

Kini, Syafiq kembali dengan single keduanya, Malu, hasil dari ciptaan sepenuhnya.

Kata anak kelahiran Parit, Perak itu, lagu Malu sudah mula dicipta sejak 10 tahun yang lalu ketika dia masih berada di bangku sekolah.

“Memang ini merupakan lagu yang sudah dicipta sejak zaman persekolahan lagi. Saya sendiri pernah memperdengarkan lagu ini kepada keluarga dan orang sekeliling ketika itu.

“Alhamdulillah setelah satu dekad berlalu barulah ia direalisasikan. Sudah pasti saya gembira dengan kehadiran Malu dan berharap ia akan diterima baik oleh semua pihak,” ujarnya.

Namun begitu, Syafiq turut berkata ini mungkin merupakan karya terakhirnya sebagai seorang penyanyi memandangkan kehadirannya dalam bidang nyanyian kurang mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Jelasnya lagi, sekiranya lagu tersebut mendapat maklum balas dan sambutan yang baik barulah dia akan mempertimbangkan untuk meneruskan karier sebagai penyanyi.

“Saya pernah menyertai pertandingan nyanyian dan mendapat komen negatif daripada seorang komposer popular.

“Dia tidak suka dengan nyanyian saya dan mahu saya meneruskan dalam bidang mencipta kandungan sahaja.

“Apa yang disebutkan itu memang ‘membakar’ jiwa dan saya mahu buktikan dengan kehadiran Malu ini, saya juga boleh menyanyi dan tidak seperti yang dikatakan,” tegasnya.

Untuk info, lagu ini menerima Dana Pemasaran Muzik Malaysia 2022 daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM).

Dilancarkan secara rasmi pada 28 Oktober, Malu sudah boleh distrim disemua platform digital dan video muzik pula boleh ditonton di YouTube Syafiq Naser.

Dharnieya Nur Amelsa