Dipaksa Makan Najis Sendiri, Disimbah Air Panas 5 Kali Sehari… Ini Update Terbaharu Mengenai #JusticeForBella

Tragedi ngeri yang melanda seorang kanak-kanak istimewa dikenali sebagai Bella telah mencetuskan amarah seluruh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila seorang saksi kes tersebut mendedahkan secara terperinci penderaan terhadap mangsa.

Sebuah hantaran yang dipercayai keterangan saksi tersebut tular di serata media sosial sejak semalam sehingga tanda pagar #JusticeForBella ‘trending’ di Twitter.

Hantaran terbabit mendakwa Bella telah disimbah dengan air panas sebanyak lima kali dalam keadaan tiada pakaian.

Paling menyayat hati, rayuan anak istimewa itu didakwa tidak diendahkan oleh pelaku yang bertindak sangat kejam kepada Bella seolah-olah tidak mempunyai perikemanusiaan.

“Saksi kata tertuduh suka simbah air panas dekat Bella. Lebih kurang lima kali tertuduh buat begitu pada Bella guna cawan Ikea simbah. Bella akan menggelupur dan tertuduh akan happy.

“Tertuduh juga suruh penghuni rumah dia ambil air pans dengan cawan Ikea simbah Bella juga. kalau tak buat, tertuduh akan belasah diorang pula.

“Ketika itu, Bella dibogelkan. Bella menggelupur lemah, minta tolong dan keletihan. Tertuduh larang orang lain tolong Bella.

“Ada satu kejadian, penghuni rumah diarahkan mengikat Bella. Tertuduh datang siram air panas di belakang badan Bella,” tulisnya di akaun Facebook.

Dalam pada itu, badan Bella menjadi sangat busuk dan bernanah akibat daripada disimbah air panas secara berterusan.

Punah rasa hati apabila anak down syndrome itu dipaksa untuk memakan najis sendiri dan diugut oleh pelaku yang berniat meletak cili di bahagian luka yang tertera di badannya jika tidak akur.

“Tertuduh suruh Bella ambil najis dia makan. Mula-mula Bella taknak, tertuduh ugut nak letak cili dekat luka-luka dia. Bella pun makan,” tulisnya lagi.

Meninjau di ruangan komen hantaran yang kini telah meraih sebanyak lebih 5,000 perkongsian itu, rata-rata netizen menzahirkan rasa tidak menyenangkan, meluahkan kata-kata marah, terkejut dan turut bersimpati dengan nasib yang menimpa anak syurga itu.

Ramai dalam kalangan mereka yang turut menitipkan doa agar keadilan buat adik Bella akan tercapai dalam masa terdekat ini.

Tidak ketinggalan selebriti Nabila Huda turut terkesan dengan kisah penderaan Bella yang dianggap sangat melampau.

Nabila atau lebih mesra disapa Abil turut berkongsi mengenai kenyataan saksi tersebut di akaun media sosialnya meraih perhatian orang ramai serta rakan-rakan selebriti.

Aqilah Paharuzi