Hampir Empat Tahun Beroperasi, Elews Mart Milik Ebit Lew Tutup Semua Cawangan?

Heboh di media sosial baru-baru ini apabila tular satu notis yang mendakwa cawangan kedai serbaneka Elews Mart milik pendakwah bebas, Ebit Lew ditutup secara berperingkat mulai 15 Januari lalu.

Notis yang bertarikh 15 Januari itu dikatakan dikeluarkan oleh Elews Mart Sdn. Bhd. serta ditujukan kepada pembekal premis tersebut.

“Adalah dimaklumkan bahawa Elews Mart Sdn. Bhd. akan menutup semua cawangan Elews Mart secara berperingkat bermula 15 Januari.

“Sehubungan itu, pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat sepanjang kerjasama dijalankan untuk memastikan operasi cawangan kami berjalan lancar.

“Segala hutang tertunggak akan dilangsaikan selewat-lewatnya30 Jun 2024,” menurut notis tersebut.

Dalam pada itu, tinjauan pada laman web Elews Mart Sdn. Bhd. mendapati tiada sebarang notis dipamerkan.

Menjengah ke profil Facebook dan Instagram rasmi Elews Mart juga sudah lama tidak berkongsi sebarang hantaran atau promosi baharu dengan kali terakhir ialah pada 11 September 2023.

Di media sosial, ada juga netizen yang mendakwa premis kedai serbaneka tersebut ada yang sudah mula ditutup setelah hampir empat tahun beroperasi.

Untuk info, premis perniagaan peruncitan milik Ebit itu mempunyai 10 cawangan yang terletak di Bandar Baru Bangi, Sungai Buloh, Balakong, Cheras, Shah Alam, Damansara, Prima Gombak, Gombak Traders dan Subang Perdana.

Khairil Khusyairi