Kanak-Kanak Perempuan 3 Tahun Maut Didera Hingga Usus Pecah, Disyaki Berpunca Akibat Dipijak

Peristiwa menyayat hati yang berlaku kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dipercayai akibat didera oleh ibu dan bapa tiri mangsa yang berlaku di Kubang Pasu, Kedah.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kematian kanak-kanak tersebut berlaku pada 7:30 petang semalam, lapor Hospital Jitra (JH).

Susulan itu, Wan Hassan telah menahan ibu mangsa yang berusia 26 tahun serta bapa tirinya, 22 tahun untuk membantu siasatan.

“Pada mulanya kita siasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun tengah hari kita menerima laporan bedah siasat terhadap jasad kanak-kanak itu.

“Hasil laporan doktor mendapati usus kanak-kanak itu pecah dan jika dilihat pada badannya mempunyai kesan pukulan serta kecederaan di belakang dan hadapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tertuduh ibu dan bapa tiri mangsa ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu yang boleh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan tersebut turut direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut.

“Wanita itu tidak bekerja manakala suaminya bekerja sebagai peniaga air dan pasangan ini dipercayai baru berkahwin antara tiga hingga empat bulan lalu.

“Wanita ini mempunyai dua lagi anak berusia empat dan enam tahun. Mangsa dipercayai anak bongsunya,” katanya.

Wan Hassan memaklumkan badan mangsa ada tertera eleman penderaan yang boleh mengakibatkan kematian.

Menurut beliau, pihaknya percaya terdapat unsur tekanan pada badan mangsa dan doktor turut memaklumkan usus mangsa pecah berkemungkinan akibat dipijak.

“Kedua-dua suspek membuat pengakuan pernah memukul kanak-kanak itu tetapi tahap mana pukulan yang dilakukan belum dapat dipastikan lagi kerana kanak-kanak itu masih kecil yang boleh menyebabkan kematian.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu mendapati kedua-duanya negatif,” katanya.

Wan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, suspek wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah manakala lelaki itu tiada rekod sebelum ini.

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi