Najib Razak Tinggalkan Nota Terakhir Buat Keluarga – “Ia Satu Perjalanan Yang Sedih Sekali…”

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda berjumlah RM210 juta terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Selasa.

Selepas keputusan kes rayuan itu diumumkan, tular pula satu perkongsian yang dimuat naik menerusi Facebook dan Instagram berkenaan mesej terakhir yang ditinggalkan di atas meja Najib kepada keluarganya.

Menerusi nota terakhir tersebut, Najib memaklumkan, beliau mula aktif dalam bidang politik dan perkhidmatan awam sejak tahun 1976 dan sejak dari itu sehinggalah ke hari ini, beliau telahpun berkhidmat selama 46 tahun lamanya.

“Dari tahun 1976 Daddy mula aktif dalam politik dan perkhidmatan awam sepenuh masa.

“Ke hari ini, 46 tahun lamanya. 46 years is a long time. Daddy memilih mewarisi legasi nenda, meneruskan usaha nenda.

“Daddy memilih kerja. Dunia politik dan perkhidmatan awam ada kelebihan dan kekurangannya,” tulisnya.

Dalam hantaran yang sama, beliau juga mengakui ada kalanya setiap apa yang diharapkan tidak seperti yang diinginkan namun, dengan sikap tidak mudah berputus asa, beliau menganggap itu adalah pengorbanan yang terbesar untuk dirinya sebagai seorang pemimpin meskipun beliau tidak mampu meluangkan masa yang banyak buat keluarga.

“Merancang pembangunan. Menggubal dasar kebajikan. Mengukuhkan hubungan antarabangsa. Menyelesaikan krisis.

“Cabaran-cabaran ini dengan hasilnya yang baik membawa senyuman kepada Daddy. Adakalanya hasil yang diharapkan tidak sebaik yang diinginkan. Tetapi cuba lagi dan lagi. Melihat kembali, ia satu pengorbanan besar.

“Tahun-tahun dan masa-masa yang ada datang dan berlalu begitu sahaja. Dari subuh ke larut malam, ada saja urusan yang perlukan perhatian. Masa makan pun bermesyuarat, berjumpa tetamu, tidak bersama you all.

“Satu perjalanan yang sedih sekali diserikan dengan kehadiranmu tetapi tidak terbalas oleh Daddy. Setakat ini sahaja yang Daddy bersama. Daddy pegang teguh kepada ajaran agama Islam. Jika ditakdirkan ini perjalanannya dan dugaan Allah SWT, apalah daya Daddy manusia dan hambaNya. Menanti keadilan dan penghakiman di mahkamah akhirat. Di dunia kita hidup sementara, dibangkit di akhirat, bersama-sama nanti kita bahagia semula di sana,” kongsinya.

Malah, Najib juga turut mendoakan agar keluarganya sentiasa dirahmati dan diberikan kesejahteraan berpanjangan.

Terdahulu, Najib disabit menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta pada Selasa selepas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membacakan sebutan tersebut di Mahkamah Persekutuan.

 

Salma Syahbuddin