Negatif Dadah, Lelaki Bunuh Isteri & Bayi 3 Bulan Direman Selama 7 Hari

Lelaki yang melarikan diri dalam keadaan berbogel selepas membunuh isteri dan anaknya di Kampung Bakar Batu semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkahmah, Nur Izzaty Muhammad Zahari, selepas permohonan dikemuka Polis Diraja Malaysia (PDRM), pagi ini.

Suspek yang berusia 25 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira jam 9 pagi dengan memakai baju lokap bewarna oren dan dikawal ketat oleh pihak polis.

Suspek yang dipercayai mengelar leher isteri dan anaknya yang berusia tiga bulan itu telah ditahan polis selepas gambar dan videonya menunggang motosikal tular di media sosial, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan polis berhubung kematian dua beranak itu pada jam 12.42 tengah hari.

“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari. Polis bertindak atas maklumat, sebelum berjaya membuat tangkapan ke atas suspek.

“Pada jam 2.45 petang, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan suspek di kawasan Permas Jaya,” katanya.

Menurut beliau, pihak polis turut merampassebilah pisau pemotong daging dan sebuah motosikal berwarna merah ketika suspek diberkas.

Namun, hasil ujian saringan air kencing lelaki tersebut dipercayai negative dari sebarang penggunaan dadah.

“Suspek disahkan negatif dadah dan motif kejadian itu masih lagi dalam siasatan,” katanya

Setakat ini, kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, isteri dan bayi lelaki suspek dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, di sini, sebelum tengah hari nanti.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain