Categories: Kisah ViralTrending

Rambut Dalam Tepung Pelita, JKN Perak Sedang Jalankan Siasatan

Tular di media sosial tentang penemuan gumpalan rambut dalam tepung pelita yang didakwa dibeli di bazar Ramadan sekitar Perak baru-baru ini.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi dari netizen yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan sikap sesetengah peniaga yang tidak peka dengan kebersihan dalam berniaga.

“Kenapalah teruk sangat kualiti juadah di bazar Ramadan tahun ni. Macam-macamlah cerita pasal makanan dari harga sampai la ke kualitinya,” komen seorang netizen.

Walaubagaimanapun, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak sedang menjalankan siasatan selepas menerima aduan daripada pelanggan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi negeri Mohd Akmal Kamarudin, kes sedang disiasat bagi mengenal pasti pelaku agar tidak berulang dan memudaratkan kesihatan orang ramai.

“Apa sahaja kes yang berkaitan, kita minta laporkan kepada Bahagian Keselamatan Makanan JKN untuk memudahkan kita mengumpul maklumat dan melengkapkan siasatan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, penemuan sehelai rambut mungkin boleh diterima, tetapi perkara tersebut melibatkan segumpal rambut.

Beliau turut menyarankan peniaga tersebut untuk lebih peka dengan kebersihan juadah.

Sumber: Harian Metro dan Oh!Media

Fatin Nurain