Rina Harun Mohon Orang Ramai Jangan Sebar Maklumat Palsu Berkaitan #JusticeForBella

Walaupun sudah tiga hari kes perbicaraan kanak-kanak Sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella berlangsung, Menteri Pembangunan Wanita, keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menegaskan agar orang ramai yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kes #JusticeForBella tidak menyebarkan maklumat kurang tepat berhubung isu berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Rina menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Rina juga memberitahu bahawa keadaan Bella kini baik dan sedang menjalani proses pemulihan dan kaunseling di Institusi kanak-kanak di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Alhamdulillah, Bella dan rakan-rakan berada dalam keadaan baik dan sedang menjalani proses pemulihan dan kaunseling di institusi kanak-kanak di bawah kendalian JKM.

“Saya sentiasa memantau keadaan adik Bella dan memberi sokongan dengan memastikan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat sentiasa memberikan sokongan psikososial buat Bella dan rakan-rakannya bagi mengembalikan semangat dan keceriaan buat anak istimewa ini,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar kes ini dapat dibicarakan seadilnya dan saksi dapat memberikan keterangan seadilnya.

Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat di luar sana tidak menokok tambah dan menyebarkan maklumat tidak tepat berkaitan kes adik Bella.

“Saya faham ramai di luar sana sayangkan Bella. Untuk itu, usah sebar maklumat-maklumat kurang tepat berkaitan kes adik Bella dan teruskan menghormati prosiding yang sedang berlangsung di mahkamah,”jelasnya.

Terdahulu, kes melibatkan penderaan adik Bella mendapat perhatian umum dan juga Tuanku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam selepas kecoh mengenai tindakan barisan peguam yang mewakili Orang Kena Tuduh (OKT), Siti Bainun yang memuat naik hantaran foto dalam keadaan gembira beserta simbol ‘mini love’.

ARTIKEL BERKAITAN:#JusticeForBella: Rina Harun Sedia Menghadap TMJ

ARTIKEL BERKAITAN:“Satu Penghormatan Besar Untuk Saya..” – TMJ, Che Puan Khaleeda Santuni Bella di Legoland

ARTIKEL BERKAITAN:TMJ Tertanya Siapa Siti Bainun – “Saya Pun Tiada 10 Lawyer, Hebat.. Apapun Ini Baru Satu Permulaan..”

ARTIKEL BERKAITAN:#JusticeForBella: Petisyen Desak Menteri Tamatkan Khidmat Syed Azmi

ARTIKEL BERKAITAN:Tarik Langsir Hingga Besi Tercabut Punca Utama Siti Bainun Bengang, Paksa Makan Nasi Seperiuk Dan Ayam Goreng Busuk

Salma Syahbuddin