Categories: Trending

Kompaun Dan Penalti Tidak Hadir Suntikan Vaksin Akan Dilaksanakan Jika…

Cadangan untuk mengenakan kompaun dan penalti terhadap individu tidak menghadiri janji temu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) serta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan, langkah mengenakan penalti dan kompaun hanya akan dilaksanakan jika pendekatan sukarela atau usaha pendaftaran menerusi pelbagai saluran termasuk MySejahtera dan secara bersemuka, dilaksanakan sepenuhnya.

“Kementerian Kesihatan (KKM) bertanggungjawab memperoleh vaksin dan kita ada jadual penghantaran daripada calon vaksin yang kita sudah ‘procure’.

“Kita yakin pemberian vaksin akan lebih rancak apabila mendapat lebih banyak bekalan bermula Jun serta Julai depan seperti diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, serta Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, mencadangkan supaya individu yang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin tanpa alasan munasabah, dikenakan penalti atau kompaun.

Ini kerana, tindakan golongan tersebut secara langsung mengganggu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sekali gus menyebabkan negara lewat mencapai sasaran imuniti kelompok.

Malah, Dr Dr Sharifa Ezat mengesyorkan penalti bermula dari RM200 dikenakan bagi setiap kali gagal menghadiri janji temu di PPV.

Salma Syahbuddin