Categories: Trending

Malaysia Terima 48,000 Stok Ubat Antiviral Paxlovid Semalam

Malaysia menerima sebanyak 48,000 stok ubat antiviral, Paxlovid (PF-07321332/Nirmatrelvir 150mg Film-Coated Tablets & Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets keluaran Pfizer, semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ubat untuk merawat COVID-19 berkenaan tiba di Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd pada 11 April 2022, semalam.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau berkata ubat antiviral berkenaan bukan bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti kepada vaksinasi COVID-19, atau pengganti kepada tindakan kesihatan awam untuk mengelakkan dijangkiti COVID-19.

“Ianya tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti kepada vaksinasi COVID-19,” katanya di Twitter.

Menurut beliau, ubat itu disyorkan untuk merawat pesakit COVID-19 dewasa berusia 18 tahun dan ke atas.

“Ia juga sesuai untuk golongan usia berkenaan yang tidak memerlukan terapi oksigen dan berisiko tinggi untuk mendapat gejala COVID-19 yang teruk,” tulisnya.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata bagi melawan COVID-19 sebagai ubat antiviral untuk aspek rawatan wabak itu selepas dikesan positif.

“Penggunaan Paxlovid adalah satu lagi senjata melawan COVID-19 iaitu ianya ubat antiviral untuk aspek rawatan COVID-19. Ia diberikan segera selepas dikesan positif COVID-19 & dlm tempoh masa 5 hari gejala bermula utk keberkesanan optima,” jelasnya.

Sumber: BERNAMA

Fatin Nurain