Categories: Trending

Manfaatkan Kemanisan Musim Pandemik, Siti Elizad Ambil Inisiatif Hafaz Ayat Suci Al-Quran

Pelakon dan juga penyampai radio Siti Elizad Sharifuddin, 37, mengambil peluang memanfaatkan musim pandemik COVID-19 ini sebagai satu inisiatif beliau untuk menghafaz beberapa surah daripada ayat suci Al-Quran.

Menerusi perkongsian Elizad di laman instagramnya pada Isnin, dia mula terpanggil untuk berkongsi bacaannya itu dimedia sosial selepas mendapat inspirasi daripada sahabat-sahabatnya yang melakukan perkara yang sama.

Video berdurasi 7 minit itu memperlihatkan Elizad sedang mengalun bacaan Surah Al-Waqiah sambil dipantu oleh suaminya.

“Jadi hari ini saya cuba dengan al-Waqiah. Ada 96 ayat. Maaf banyak lupa, banyak kesalahan daripada segi tajwid, tidak merdu (sebab suami kata banyak main).

“Insha-Allah perlahan-lahan saya cuba hafal lagi. Apa-apa pun saya terbuka dengan semua teguran,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Elizad juga sempat memberikan ucapan terima kasih kepada Ustaz Khairullah dan Ustaz Hadi kerana banyak membimbing bacaan al-Quran nya sebelum ini.

Malah, rata-rata rakan artis turut memuji dan berkongsi rasa syukur atas usaha yang dilakukan oleh Elizad.

Terdahulu, selepas Betty Rahmad dilihat tampil memakai hijab, Elizad juga tampil  dengan imej yang sama selepas suaminya, Shamsul Baharin Abdul Rahman membelikannya selendang secara dalam talian tanpa pengetahuannya.

“Semuanya bermula apabila saya buka satu bungkusan dan isinya ialah selendang. Rupa-rupanya suami yang belikan untuk saya. Saya letak di kepala, suami cakap cantik.

“Sejak itu lah saya perlahan-lahan memakai tudung dengan cara saya sendiri. Kebetulan saya bekerja pada 1 Muharam lalu, jadi bermula detik itulah saya sudah memakai hijab,” jelasnya.

 

Salma Syahbuddin