Meer Nash Nyanyi Semula Lagu Imran Ajmain

Lagu berhantu Seribu Tahun dendangan Imran Ajmain sudah berusia lebih sedekad. Malah hingga kini lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama Kerana Cintaku Saerah di TV3 itu boleh dianggap malar segar.

Pendek kata irama lagu berkenaan boleh membuai rasa dan menyentuh jiwa. Jadi tidak pelik apabila lagu itu boleh sohor kini di aplikasi TikTok baru baru ini.

Lantas TikTok bersama Universal Music Malaysia tampil dengan usaha terus mengembalikan kegemilangan karya berkenaan dengan memilih Meer Nash untuk menyanyikan semula lagu itu.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, keputusan berkenaan mengujakan Meer atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd. Nashrul.

“Apabila pihak TikTok berkata lagu itu sedang ‘trending’ semula dalam aplikasi mereka dan ingin menerokai kemunculan semula, saya sendiri terkesima. Iyalah kerana dalam ramai ramai artis, diri ini yang terpilih.

“Tambah pula saya sendiri secara peribadi meminati lagu berkenaan. Saya percaya bukan diri ini saja yang meminatinya, malah ramai lagi orang di luar sana berasakan hal sama,” katanya.

Kata penyanyi yang mendapat jolokan Oppa Malay ketika menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) tahun lalu, perancangan menjadikan usaha ini bermula sekitar 29 Mac lalu.

“Seterusnya terjadi perbincangan antara TikTok dan Universal Music hingga wujudnya kumpulan WhatsApp. Malah dengan situasi semasa pandemik COVID-19, mesyuarat dan perbincangan juga dibuat menerusi aplikasi video Zoom.

“Saat itu, perbincangan juga dilanjutkan dengan membabitkan pemuzik untuk susunan semula lagu itu, tarikh rakaman dan pelancaran serta sebagainya.Akhirnya lagu itu dirakamkan pada 18 Mei lalu di RMP Production di Damansara Perdana,” katanya.

Lagu ini boleh didengarkan di kesemua pelantar pentsriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music bermula 13 Ogos 2021 dan lirik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Meer Nash.

Padin