Categories: Trending

Marvel perkenalkan adiwira terbaharu dan dia orang Malaysia!

Siapa sangka Marvel yang sebelum ini menawarkan watak-watak hebat seperti Iron Man dan Captain America, akan memperkenalkan seorang adiwira yang berasal dari negara kita?

Memang sukar untuk kita percaya, tetapi ini cerita benar!

Dikenali sebagai Sun Bird, superhero ini ialah sebahagian daripada pasukan ‘Warriors of the Sky’ yang direka khas untuk permainan mobil popularnya, Marvel Future Fight.

Dipersembahkan kepada peminat buat pertama kalinya di acara Thailand Game Show 25 Oktober lalu, pasukan ini terdiri daripada empat orang adiwira yang memiliki kuasa dan penceritaan yang unik untuk pemain terokai.

“Menggabungkan kuasa hebat, visual mantap dan latar belakang yang sukar untuk dilupakan, Warriors of the Sky menyertai Avengers, X-Men dan Guardians of the Galaxy sebagai pasukan terbesar Marvel,” kata timbalan presiden kreatif untuk Marvel Games, Bill Rosemann.

Sun Bird dikatakan berasal dari Malaysia. Sumber: Marvel

Amacam? Tampak hebat, kan?

Menurut siaran akhbar, Sun Bird menyerang musuh sebagai penjaga bagi rantau Selatan, serta menawarkan sokongan pemulihan bagi ahli pasukannya yang lain.

Dengan ketangkasan hebat, lanun daripada abad ke-17 ini dilahirkan semula dengan kuasa yang datang daripada keris kembarnya.

Dia nekad untuk mempertarungkan nyawa baharunya demi kesejahteraan dunia, sebanyak mana yang dia mampu.

Dari kiri: War Tiger, Blue Dragon, Shadow Shell dan Sun Bird. Sumber: Marvel

 

Ahli pasukan Warriors of the Sky yang lain termasuklah War Tiger dari Thailand, Blue Dragon dari Vietnam dan Shadow Shell dari Taiwan.

Dalam kisah asal pasukan ini, Marvel berkata empat pahlawan lagenda ini melindungi Temple of the Crescent Moon daripada ancaman musuh di Asia pada zaman dahulu kala.

Kini, memandangkan kuasa jahat bangkit semula, Warriors of the Sky dipanggil untuk bersatu dan sama-sama melindungi Bumi di bawah satu langit.

Hebat! Adakah anda teruja dan akan mencuba permainan ini apabila ia dilancarkan kelak?

Ad Ops