Categories: Trending

Pernah Rancang Nak Bersara, Ramlah Ram Pendam Keinginan

Penyanyi senior berbakat, Ramlah Ram, 56, mengakui pernah terfikir untuk bersara daripada dunia hiburan.

Menurut Ramlah, keinginan itu hanya dipendamkan sahaja kerana minatnya yang mendalam dalam bidang nyanyian serta sokongan peminat yang tidak putus-putus.

“Sejujurnya, dahulu pernah terdetik nak bersara apabila usia memasuki 50 tahun. Pernah terfikir untuk berhenti menyanyi, tetapi dalam hati sahaja. Akhirnya, saya masih di sini. Jadi, saya tak berani nak cakap bila.

“Minat saya sangat mendalam dalam bidang nyanyian ini. Selain itu, peminat juga tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap saya semenjak dahulu lagi,” katanya.

Muncul dengan single terbaru berjudul Aku Ubatinya Lagi, Ramlah berkolaborasi dengan Ajai yang menjadi pencipta sepenuhnya untuk karya ini.

“Lagu ini merupakan ciptaan Ajai dan susunan muziknya pula mendapat sentuhan Sharon Paul. Saya teruja kerana ini kali pertama saya berkolaborasi dengan Ajai selepas sekian lama mengenalinya.

“Lagu ini sudah dirakamkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, tetapi baru sahaja dilancarkan tahun ini. Saya berharap buah tangan terbaru ini dapat mengubati kerinduan peminat,” katanya lagi.

Dengarkan lagu Aku Ubatinya Lagi di semua platfrom penstriman digital dan muzik video lagu ini boleh ditonton di laman YouTube Universal Music.

Padin