Categories: Trending

Safiq Rahim Minta Netizen Henti Spekulasi Pengundurannya

Selepas pemain bola sepak terkemuka, Safiq Rahim memutuskan meninggalkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), sudah tentu ramai penyokongnya yang terkejut.

Safiq antara bekas kapten terbaik dan pemain untuk beberapa kelab bola sepak tempatan mengaku keputusannya berundur tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“ Saya ingin tegaskan di sini, tiada apa-apa atau sesiapa yang mempengaruhi pemergian saya dari JDT. Tidak ada kena mengena dengan sesiapa.

“ Ia adalah keputusan bersama demi kepentingan kelab dan saya sendiri. Jangan ada pihak yang sesuka hati membuat spekulasi sendiri hingga memburukkan keadaan antara dua pihak,” tulisnya di laman Instagram, sebentar tadi.

Kata pemain bola sepak berusia 31 tahun ini, tidak mustahil untuk dirinya kembali bermain di JDT pada masa akan datang.

“ Jika ada rezeki saya akan kembali kerana JDT sentiasa membuka pintu kepada saya dan pemain yang lain untuk kembali.

“ Saya mengucapkan terima kasih kepada kelab terutama sekali Tunku Mahkota Johor yang mempercayai saya selama ini banyak membantu saya dan keluarga saya.

“ Enam tahun mungkin tak cukup untuk saya balas budi baik tunku dan pasukan JDT. Ia adalah satu penghargaan terbesar dapat bersama dalam Keluarga JDT dan mengecapi kejuaraan bersama. Terima kasih semua termasuk penyokong Merah Biru,” akhirinya.

Dalam masa sama, terdapat juga laporan mengatakan Safiq berkemungkinan bermain untuk kelab luar negara.

Safiq yang menyertai JDT pada 2013 membantu pasukan merangkul kejuaraan utama iaitu Liga Super sebanyak lima kali berturut-turut sejak 2014, Piala Malaysia 2017, Piala FA 2016 dan Piala AFC 2015.

SGMS Faida