Categories: Trending

“Saya Jayakan Watak G*y Bila Tahu Aaron Aziz Jadi Pasangan” – Berlakon Karakter Jejaka Songsang, Gambit Saifullah Janggal Pegang Tangan Lelaki

Pelakon Gambit Saifullah, 37, bersedia untuk menerima kritikan apabila menyahut cabaran menjayakan watak jejaka homoseksual dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa.

Ditayangkan di slot Samarinda TV3, Gambit bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz dan Sophia Albarakbah dalam drama bersiri arahan Eyra Rahman.

“Apabila saya menerima tawaran untuk menjayakan watak Izfairin, saya dah terfikir, apakah kesannya kepada saya sebagai seorang pelakon.

“Saya dapat rasakan, mungkin kesannya agak teruk, saya kena berhadapan dengan kecaman, kena menjawab kritikan.

“Tapi sebagai seorang pelakon, membawakan watak yang mencabar merupakan satu kepuasan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Suamiku Lelaki Pendosa pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Sisi Gelap Sebelum Kahwin… Jalin Hubungan Dengan Gambit Saifullah” – Ini Reaksi Isteri Bila Aaron Aziz Bawa Watak Lelaki Songsang

Tambah Gambit, salah satu faktor dia bersedia membawakan watak Izfairin adalah kerana Aaron.

“Bila terima watak ini, saya mahu tahu siapa gandingan saya. Terus terang saya katakan, kalau dengan lelaki yang saya memang sangsi statusnya untuk pegang watak sebagai pasangan saya dalam karya itu, saya memang tak akan ambil.

“Saya jayakan watak gay apabila saya tahu Aaron jadi pasangan saya. Kami sudah lama mengenali dan dia seorang pelakon yang berkaliber. Saya tahu cara kerja Aaron bagaimana.

“Walaupun kekok pada awalnya, kami dapat mengatasi perkara itu. Ia sangat mencabar kerana perkara itu sangat asing bagi kami. Hari pertama nak berlakon tu memang rasa janggal pada hari pertama di lokasi.

“Bila saya kena pegang lelaki, saya rasa pelik. Transisi sebagai seorang aktor dengan realiti diri kita sendiri agak payah. Apa yang penting, pengajaran yang mahu kami sampaikan kepada penonton,” katanya lagi.

Selain Aaron, Sophia dan Gambit, karya 28 episod terbitan Global Station ini turut dijayakan oleh Fauzi Nawawi, Datin Maria Farida, Aleza Shadan, Shima Anuar, Edika Yusof dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan Suamiku Lelaki Pendosa, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda, TV3.

Padin