Categories: AcaraTrending

Sebagai Tanda Solidariti Kepada Palestin & Hormat Mangsa Banjir, Tiada Sambutan Ambang Tahun Baharu

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bercadang untuk mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024.

Memetik laporan Harian Metro, ia sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin yang kini ditindas oleh rejim zionis Israel dan bagi menghormati beberapa buah negeri yang terlibat dengan banjir.

“Di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mungkin diadakan program sambutan yang bersesuaian dengan keadaan setempat,” ujarnya kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di sini, malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam akan mengadakan Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 pada Ahad di Masjid Negara di Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebagai alternatif bagi masyarakat Islam Malaysia yang lazim menyambut Tahun Baharu Masihi.

Sumber: Harian Metro

Atiqah Johari