Categories: Trending

“Sekarang Ni, Bila Kena Kecam… Saya Rasa Lebih Tenang” – Neelofa

Selebriti dan usahawan popular, Neelofa mengakui sudah lali dengan kecaman yang diterimanya semenjak melibatkan diri dalam dunia seni 10 tahun lalu.

Biarpun kini telah berhijrah, pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor, 32, masih tidak boleh lari daripada percikan kontroversi.

“Sejujurnya, saya dah lali. Kecaman itu sudah saya hadapi semenjak 10 tahun lalu. Saya akui jika dahulu, saya rasa susah dan stress nak kendalikan emosi jika terpalit sebarang isu. Tapi sekarang, saya rasa tak susah sangat.

“Kini, bila ada orang kecam ke, orang nak kata apa ke, saya lebih tenang. Saya dah tahu cara mengendalikan emosi saya untuk menghadapi kontroversi yang datang.

“Jika ada yang rasa saya sukar untuk hadapi kontroversi di fasa sekarang, saya rasa ketika di awal pembabitan dulu, perkara terbabit lagi teruk kot,” katanya lagi.

Bakal menyambut ulang tahun ke-32 pada 10 Februari ini, Neelofa melancarkan kempen untuk membantu semula orang ramai yang terjejas akibat pandemik yang terjadi.

Menerusi jenama fesyen miliknya, Naelofar, bekas pengacara Nona ini melancarkan #NaelofarJourneyofHope bersempena hari lahirnya.

“Hampir setahun kita bergelut dengan pelbagai dugaan melawan wabak, masing-masing melalui kesusahan sendiri untuk terus berdiri dan menyebarkan semangat positif. Bersempena bulan Februari, saya berhasrat untuk memberikan semula menerusi koleksi Silk Road Collection,” katanya.

Di akhir kempen, 10 peratus hasil jualan yang disalurkan kepada Naelofar Kindness Box dari Silk Road Collection menerusi pemberian di Shopee akan diberikan kepada Pertubuhan Kasih Neelofa untuk membantu mereka yang terjejas kerana pandemik COVID-19.

Padin