Categories: Trending

Semangat Lebaran Hasif Upin & Yunadia Dalam ‘Nostalgia Raya’

Bagi memeriahkan bulan Ramadan pada tahun ini dan meraikan lebaran yang bakal tiba, bakat baharu, Hasif Upin dan Yunadia digabungkan dalam sebuah single Raya istimewa berjudul Nostalgia Raya.

Single Nostalgia Raya dalam nuansa pop rancak ciptaan bersama komposer Iqie Hugh dengan Jova Devito ini telah pun diperdengarkan buat pertama kalinya ketika majlis ‘Media Night & Majlis Berbuka Puasa’ anjuran AEG di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Terima kasih kepada pihak AEG kerana memberi kepercayaan sekali lagi buat saya bersama-sama abang Hasif untuk menyanyikan lagu Nostalgia Raya ini.

“Keseronokkan yang dirasai tidak dapat digambarkan dengan kata-kata! Bukan mudah untuk pendatang baharu seperti saya mendapat peluang seperti ini,” ujar Yunadia dalam nada teruja.

Bagi Hasif, Syawal tahun ini pasti berbeza buat dirinya yang menyambut Hari Raya seorang diri.

“Bagi saya, tahun ini saya akan beraya seorang diri setelah kehilangan ibu tercinta pada bulan Oktober yang lepas, namun kehidupan tetap diteruskan jua.

“Semoga semua akan terhibur dengan lagu Nostalgia Raya ini serta menjadi pengubat rindu mengimbau memori dahulu bersama yang tersayang,” katanya.

Lagu ini merupakan terbitan label pengurusan artis terbaharu di Malaysia, Armani Entertainment Group (AEG).

“Label kami amat berbesar hati untuk menerbitkan lagu Raya yang pertama dengan menampilkan gabungan mantap di antara Hasif Upin dan Yunadia.

“Ini juga merupakan langkah sulung AEG dalam menarik hati pendengar tempatan disamping memperkenalkan lagi AEG dan barisan artisnya,” ujar Datuk KK Chua selaku Ketua Pengerusi Eksekutif AEG.

Padin