Categories: Trending

Tragedi Pesawat Terhempas: Mayat Mangsa Berkecai & Tidak Sempurna… Menteri Pengangkutan Gesa Orang Ramai Tidak Buat Sebarang Spekulasi

Perkembangan terkini, mayat mangsa pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier) 1 yang terhempas di Bandar Elmina pada jam 2.40 petang tadi ditemui berkecai dan tidak sempurna.

Perkara telah disahkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam sebuah sidang media bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), tadi.

“Keadaan mangsa ditemui tidak sempurna dan berkecai impak kemalangan itu,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pesawat terbabit didapati melencong ke kanan dari laluan penerbangan di (LTSAAS) sebelum terhempas.

“Menara kawalan memaklumkan pesawat itu melencong ke kanan dari laluan penerbangan apabila hendak mendarat.

“Selepas diberikan kebenaran (mendarat), menara kawalan nampak asap tebal dari lokasi kejadian.

“Kita masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dan seperti disahkan oleh CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) tadi, tiada panggilan kecemasan diterima menara kawalan daripada pesawat berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) juga sudah digerakkan bagi mengesan kotak hitam pesawat berkenaan.

“Kita perlu siasat (punca) sebelum buat rumusan. Setakat ini, tiada apa-apa hasil siasatan yang dapat diberikan dan kita harap bersabar dan (orang ramai) tidak membuat sebarang spekulasi mengenai nahas ini.

“Setakat ini, pesawat itu didapati memiliki semua dokumen termasuk lesen dan pendaftaran. Masih terlalu awal untuk kita respons (punca nahas) sebelum siasatan dilengkapkan,” jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Polis Sahkan Tiada Panggilan Kecemasan Dibuat, EXCO Pahang Antara 10 Mangsa Tragedi Pesawat Di Elmina

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Pesawat Terhempas: Anwar Ibrahim Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Mangsa

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain