Ada Kesan Lebam Lama Dan Baru, Youtuber Ditahan Bunuh Teman Wanita

Seorang Youtuber berusia lingkungan 20-an bersama tiga lagi rakannya ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita yang dipercayai kekasihnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintendan Kamarul Rizal Jenal memaklumkan, empat lelaki berusia sekitar 23 tahun hingga 28 tahun itu ditahan sekitar Teluk Kumbar sejak tiga hari lalu selepas doktor di Balik Pulau membuat laporan polis mengenai pesakitnya yang sedang kritikal.

Mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul

Difahamkan, mangsa yang juga seorang Youtuber disahkan meninggal dunia pada hari yang sama.

Kamarul berkata, mangsa dipercayai dipukul dengan menggunakan objek keras dan tumpul kerana terdapat kesan lebam di badan mangsa.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal,” katanya.

Bagaimanapun, setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

 

Sumber : Awani

Salma Syahbuddin