Anhar Ad-Deek Wanita Palestin Yang Ditahan, Kini Telah Dibebaskan!

Baru-baru ini tular berita mengenai tahanan wanita Palestin, Anhar Ad-Deek, 25, yang dilaporkan sedang menunggu masa untuk melahirkan merayu agar ada pihak yang mendengar rintihannya untuk keluar dari penjara penjajah.

Anhar Ad-Deek sebelum ini pernah menulis surat yang dimuat naik menerusi akaun Instagram @cintagazamalaysia memohon pihak dan orang ramai menyampaikan hasratnya untuk dikeluarkan dari penjara tersebut supaya dapat melahirkan anak keduanya itu dengan dikelilingi insan-insan tersayang.

 

Terbaharu, menerusi hantaran di Instagram milik Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan, Anhar Ad- Deek kini sudah dibebaskan.

“Alhamdulillah, setelah ditekan masyarakat antarabangsa, tahanan wanita yang mengandung 9 bulan di dalam penjara penjajah, Anhar Ad-Deek dibebaskan sekejap tadi.

Menurutnya, pembebasan Anhar Ad- Deek yang berasal dari bandar Kafr Ni’ma di barat Ramallah itu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan arahan tidak keluar dari rumah keluaganya.

Malah, selepas sahaja pembebasan Anhar, beliau dikhabarkan dibawa terus ke hospital untuk proses bersalin.

“Ikat jamin sekitar RM50,000 dan arahan tidak keluar dari rumah keluarga.

“Beliau akan dibawa ke hospital untuk bersalin sebelum dihantar ke rumah.” Tulisnya.

Terdahulu, kisah Anhar mula mendapat perhatian masyarakat islam seluruh dunia apabila surat yang ditulisnya memaklumkan situasi yang terpaksa dialaminya apabila melahirkan anaknya itu di dalam penjara berkenaan.

Dan akhirnya, Misi Pemerhati Tetap Negara Palestin untuk Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva menghantar rayuan mendesak agar masyarakat antarabangsa mengambil tindakan untuk membebaskannya.

Sebelum ini juga, Mahkamah Israel pernah menolak pembebasan Anhar Al-Deek yang mengandung 9 bulan dan menetapkan beliau akan tetap bersalin dalam tahanan.

 

Salma Syahbuddin