Tempoh Pembaharuan Lesen LKM, LMM Dilanjutkan Sehingga…

Kementerian Pengangkutan melanjutkan tempoh pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan mana-mana pemilik LKM dan LMM yang sudah tamat tempoh sah, tidak akan dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pematuhan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, pemilik LKM yang tamat tempoh sah masih perlu memastikan kenderaan terbabit dilindungi insurans yang sah, dan memapar serta menunjukkan Sijil Perlindungan Insurans yang sah bagi pemeriksaan.

“Kementerian Pengangkutan amat peka dengan maklum balas dan kesukaran orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan agensi di bawahnya seperti JPJ, ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan memutuskan untuk memberi pelanjutan tempoh pembaharuan LKM dan LMM hingga 31 Disember 2021.” Katanya.

Mangsa banjir di Kedah dikecualikan bayar  penggantian Lesen LKM, LMM

Tambahnya lagi, kelonggaran bayaran untuk mendapatkan penggantian lesen LKM dan LMM yang hilang atau rosak dalam kejadian itu akan diberikan kepada mangsa banjir yang berlako di Yan dan Merbok baru-baru ini.

Namun, mangsa banjir yang mahu berbuat demikian perlu mengemukakan laporan polis mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen berkenaan, sebelum membuat penggantian LKM dan LMM.

Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di kawasan berkenaan.

Sumber: Bernama
Salma Syahbuddin