Bayi Berusia 14 Hari Maut Dalam Rempuhan Kereta Dengan Lori Tanah

Seorang bayi lelaki berusia 14 hari maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Gelung Gajah, Bakar Bata di Ayer Tawar pada Rabu.

Menurut laporan Berita Harian, kejadian berlaku apabila Perodua Kancil dinaiki bayi berkenaan bersama lima ahli keluarga lain bertembung dengan sebuah lori muatan tanah.

Difahamkan, kemalangan berlaku apabila kereta itu dipercayai melanggar dua ekor lembu sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung lori berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Suhaimi Nijar berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.24 pagi.

Beliau berkata, sejurus bomba tiba di lokasi kejadian, orang awam dikatakan telah mengeluarkan seorang lelaki dan tiga kanak-kanak sebelum membawa mereka ke hospital.

Manakala seorang wanita yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta itu masih tersepit dan pasukan perubatan mengesahkan seorang bayi lelaki meninggal dunia.

“Anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.

“Ketika itu, bayi berkenaan sudah dikeluarkan dari kenderaan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada jam 7.58 pagi,” katanya.

Sumber: BH

Kredit Foto: Sinar Harian

Marcella