Bot Karam Ketika Misi Menghantar Bantuan Makanan

Tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Tahan berhadapan situasi yang mendebarkan apabila bot yang mereka naiki karam di Sungai Tembeling, Jerantut, Pahang pada Rabu.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Sukan Star TV, salah seorang dari anggota APM merakamkan keadaan air sungai yang bergelora ketika mereka dalam perjalanan ke Kampung Orang Asli Aur.

“Team APM Kuala Tahan telah diamanahkan untuk menghantar bantuan kepada lima keluarga di Kampung Aur, yang mana perjalanan ke Kampung Aur harus melalui Jeram termasuk Jeram Panjang yang kita lalui sekarang,” jelasnya di dalam video itu.

Keadaan yang mencabar itu mereka harungi menggunakan bot persendirian di mana arus air yang deras menyukarkan perjalanan mereka.

Beberapa minit sebelum video itu tamat, bot mereka telah terlanggar ombak yang besar menyebabkan sejumlah air memasuki bot mereka dan karam.

Walaubagaimanapun, Utusan melaporkan ketiga-tiga anggota itu selamat dan tidak mengalami kecederaan apabila mereka berenang ke tepi sungai untuk menyelamatkan diri.

Anggota yang terbabit, Ahmad Turmizi Abu Kassim, 52 iaitu pemandu bot tersebut, Roslan Abu Kassim, 58 serta Belandak Bajak, 28 yang merupakan Orang Asli etnik Bateq Kampung Kuala Atok, Kuala Tahan.

Menurut Ketua Polis Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan, setelah kejadian, bot yang mereka naiki pecah dan segala barangan yang dibawa hilang dibawa arus di sungai itu.

Dia berkata, kakitangan kerajaan di daerah berkenaan dan sukarelawan APM Kuala Tahan rajin memberi bantuan makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Aur ketika musim tengkujuh sedang melanda.

Difahamkan penduduk Orang Asli di kampung itu terputus bekalan makanan.

Sumber: Utusan

Kredit video: Sukan Star TV

Arfah