Hasrat Nak Bergambar Berakhir Tragedi, Wanita Maut Jatuh Dari Tebing Tasik Berketinggian 23 Meter

Hasrat seorang wanita untuk merakam gambar berlatar belakang pemandangan indah di Tasik Biru Kangkar Pulai atau Blue Lagoon berakhir dengan tragedi selepas tergelincir lalu terjatuh dari tebing tasik yang berketinggian 23 meter.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Mohd Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.06 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan kenderaan pacuan empat roda dengan kekuatan 11 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Suraini Adnan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai ke lokasi kejadian.

Menurutnya, siasatan mendapati seorang wanita, V Aruna, 25, terjatuh akibat tergelincir.

Tambahnya lagi, suami mangsa memberitahu kejadian tersebut berlaku ketika mangsa hendak merakam gambar pemandangan di Tasik Biru.

“Difahamkan, suami mangsa bersama wanita itu ketika melakukan aktiviti mendaki.

“Anggota bomba menemui mangsa di sekitar kawasan anak sungai dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada 5.08 petang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Tasik tersebut merupakan kawasan larangan, namun telah menjadi tarikan orang ramai sebagai tempat untuk melakukan aktiviti mendaki.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir