Kes Langgar Mati 8 Remaja Berbasikal Lajak, Wanita Disabit Kesalahan Dihukum 6 Tahun Penjara & Denda RM6,000

Susulan kes langgar mati lapan remaja berbasikal lajak pada lima tahun lalu, seorang kerani wanita dijatuhkan hukuman penjara enam tahun dan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Perintah itu diputuskan oleh Hakim Datuk Abu Bakar Katar di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, perintah mahkamah ini sekaligus menghapuskan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu untuk mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan tertuduh daripada dakwaan berkenaan.

Hakim Abu Bakar memaklumkan dalam keputusannya terhadap rayuan kes berkenaan berkata, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.

Bagaimanapun, difahamkan beberapa isu dibangkitkan di akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, kebolehterimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa terkhilaf dalam menimbangkan semula di Mahkamah bicara.

Terdahulu, responden Sam Ke Ting, 27 didakwa melakukan kesalahan melanggar lapan remaja yang sedang berbasikal lajak sehingga menyebabkan kematian di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru pada jam, 3.20 pagi, 17 Februari 2017.

Lapan remaja yang maut berumur dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro

Aqilah Paharuzi