“Kami Dah Sah Berpisah Tapi Tetap Berkawan” – Bad Indigo dan Ashira Tidak Lagi Bersama

Tiada angin, tiada ribut, penyanyi Ashira dan suaminya yang juga ahli kumpulan Indigo, Bad mengumumkan bahawa rumah tangga mereka sudah berakhir.

Menerusi perkongsian video di Instagram milik Bad, dia dan Ashira memberitahu keputusan itu dibuat atas persetujuan bersama.

“Kami sudah capai persetujuan bersama, jadi kami dah sah berpisah tapi tetap berkawan. Kita memang nak berkawan sampai bila-bila,” kata Bad.

Menurut Ashira, dia memaklumkan perkara itu kerana enggan mana-mana pihak membuat spekulasi tidak betul mengenai rumah tangga mereka.

“Kami tak nak keluar daripada mulut orang lain sebab banyak sangat cerita-cerita yang kat luar tu yang tak betul. Jadi harap benda ni jelaslah.

“Tak ada masalah antara kami, kalau ada masalah saya tak ada dalam kereta ni.

“Saya tak terima pertanyaan media yang ingin tahu apa punca perpisahan. Biarlah saya, dia (Bad) dan Allah saja tahu,” ujar Ashira.

Pada masa sama, Bad turut menjelaskan dia dan bekas isteri mengambil keputusan untuk merahsiakan punca perpisahan mereka.

“Saya sayang dia. Apa sebabnya kita tak boleh cerita… yang penting tak ada orang ketiga. Apa-apa yang berlaku dalam perkahwinan ni, ia adalah satu aib.

“Mendedahkan aib walaupun sendiri yang mendedahkan adalah dosa.

“Biar Allah yang tahu. Semoga tiada lagi pertanyaan mana Ashira, mana Bad? Minta semua jangan cerita benda tak betul fasal kami,” ujarnya.

Di ruangan komen, rata-rata pengikut Bad mendoakan agar urusan mereka dipermudahkan dan ‘respect’ dengan tindakan mereka yang masih berbaik.

Bad bergelar bapa tunggal sejak 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Rayyan, 13, dan Rania, 12 manakala Ashira pula berstatus ibu tunggal pada 2015 dan memiliki seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 16.

Untuk rekod, bekas peserta program realiti, Ashira Aziz dan Bad daripada kumpulan Indigo disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 11 Mac tahun lalu.

Maya Basir