“Bukan Nak Sorok Tapi…” – Neelofa Minta Beri Masa Untuk Kongsi Wajah Bilal

Sehingga kini, selebriti popular, Neelofa masih tidak berkongsi wajah putera sulungnya, Muhammad Bilal untuk tatapan umum walaupun sudah berusia enam bulan.

Gara-gara menjaga privasi anaknya, Neelofa dijadikan bahan gurauan dan sindiran oleh sesetengah pihak mengenai penyakit ‘ain di media sosial.

“Jika ada yang mempermainkan mengenai perkara itu, sebenarnya seolah-olah mereka main-mainkan kewujudan ‘ain. Bukan mereka sindir saya sebenarnya.

“Malah hal ini di dalam hadis sahih pun ada. Saya tidaklah arif sangat mengenai perkara ini, tapi saya mungkin boleh melangkaui takdir,” ujarnya.

Ibu kepada Bilal itu berkata dia lebih mementingkan kesihatan dan kesejahteraan anaknya walaupun ramai yang mengkritik tindakannya.

“Saya buat ini (belum dedah wajah anak) walau orang kecam macam mana sekali pun, kami fikir mengenai kesihatan dan kesejahteraan anak. Tunggu bagi dia besar sikit. Bukan saya nak sorok atau tak mahu bagi orang tengok, tidak,” katanya.

Ketika ditemui di majlis pelancaran kolaborasi Naelofar x Disney Alice in Wonderland di IOI City Mall, Putrajaya semalam, dia menginginkan anaknya itu membesar seperti kanak-kanak yang lain.

“Kalau boleh saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak normal yang lain. Beri masa dia untuk kuat sikit, barulah kita akan bawa dia keluar dan sebagainya,” kongsinya.

Sehubungan itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 33, turut mengucapkan terima kasih kepada rakan selebriti dan pihak yang menyokong tindakannya walaupun mendapat kecaman ramai.

Terdahulu, Neelofa mengakui mengambil langkah berjaga-jaga dan belum bersedia untuk mendedahkan anaknya kepada orang ramai bagi mengelakkan gangguan ‘Ain.

Neelofa merupakan isteri kepada pendakwah bebas PU Riz dan telah mendirikan rumahtangga pada Mac tahun lalu.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan seorang permata hati, Muhammad Bilal pada 29 Januari lalu.

Atiqah Johari