Lelaki 57 Tahun Sihat Selepas Tiga Hari Lalui Pembedahan Pemindahan Jantung Babi

Seorang lelaki warga Amerika Syarikat menjadi manusia pertama di dunia menjalani pemindahan jantung daripada babi yang diubah suai secara genetik.

Lelaki yang dikenali sebagai David Bennet berusia 57 tahun disahkan sihat tiga hari selepas prosedur kajian pembedahan selama tujuh jam di Baltimore, Maryland, Amerika Syarikat.

Memetik laporan BBC, pemindahan itu dianggap sebagai harapan terakhir untuk menyelamatkan nyawa David walaupun masih belum dapat dikenalpasti selama mana jangka hayatnya untuk terus hidup.

“Ia sama ada mati atau lakukan pemindahan ini,” ujar David sehari sebelum pembedahan.

“Saya tahu ia adalah percubaan yang saya sendiri tidak pasti keberkesanannya, tetapi ia pilihan terakhir saya,” kata David lagi.

David terlantar di katil selama enam minggu sebelum pembedahan dan harus bergantung pada alat pernafasan bagi memastikan dia terus bernyawa.

Doktor di Pusat Perubatan Universiti Maryland telah diberikan dispensasi khas oleh pengawal selia perubatan Amerika Syarikat untuk menjalankan prosedur itu, jika David yang menghidap penyakit jantung terminal meninggal dunia semasa pembedahan.

Dalam situasi kesihatan David yang kritikal, Doktor mengambil keputusan untuk tidak memindahkan jantung manusia ke dalam badannya kerana ia tidak sesuai.

Babi yang digunakan dalam pemindahan itu telah diubah suai secara genetik untuk menyingkirkan beberapa gen yang akan menyebabkan organ itu ditolak oleh tubuh David, lapor agensi berita AFP.

Selepas pemindahan, David dilaporkan bernafas dengan sendiri tanpa bantuan pernafasan sambil dia dipantau rapi oleh pakar perubatan.

Pasukan perubatan yang menjalankan pemindahan itu menyifatkan prosedur pembedahan ini sebagai kemuncak penyelidikan bertahun-tahun mereka dan ia boleh mengubah kehidupan di seluruh dunia.

“Pembedahan ini akan membawa dunia selangkah lebih dekat dalam menyelesaikan krisis kekurangan organ,” kata pakar bedah, Bartley Griffith.

Penggunaan organ haiwan untuk pembedahan pemindahan organ ke dalam badan manusia atau xenotransplantation telah lama dipertimbangkan.

Penggunaan injap jantung babi telah menjadi perkara biasa di dalam dunia perubatan.

Pada Oktober 2021, pakar bedah di New York mengumumkan mereka telah berjaya memindahkan buah pinggang babi kedalam tubuh manusia. Percubaan itu dianggap sebagai percubaan yang maju di dalam perubatan.

Sumber: BBC

Kredit foto: Reuters

Arfah