“Buat Baik Dibalas Baik” – Abang Viva Dapat Hadiah Superbike

Pada masa ini, orang ramai mesti sudah mengenali nama Azwan Omar, atau dikenali sebagai ‘Abang Viva’ yang telah banyak membantu mereka yang menghadapi kesusahan ketika banjir melanda sebelum ini.

Sebelum ini, kita mendengar cerita tentang Abang Viva yang bakal menerima sebuah kereta 4×4 sumbangan seorang pengasas kosmetik, Sha Hassan.

Namun, rezekinya tidak terhenti di situ. Baru-baru ini Abang Viva diberi hadiah lagi sempena usaha murninya tempoh hari.

Kali ini Abang Viva menerima hadiah berupa motosikal berkuasa tinggi atau superbike jenama Yamaha.

Syarikat ICITY Motorworld Sdn Bhd telah berkongsi di laman Facebook mereka dan memuat naik gambar Abang Viva yang telah selamat menerima motosikal Yamaha XJ6S berwarna hitam.

“Terima kasih kepada Abang Viva. Buat baik dibalas baik,” tulis kapsyen dalam perkongsian itu.

Menurut laman Moto Malaya, seorang individu yang tidak didedahkan nama itu telah membeli motosikal itu dan menghadiahkannya kepada Azwan.

Sebagai tanda penghargaan kepada Abang Viva sebagai penerima Anugerah Adiwira Prihatin Musibah, pihak ICITY Motorworld telah menaja beberapa aksesori termasuk topi keledar, jaket dan beg galas.

Marcella